Nilai 3 semakin suram

Selepas 17 tahun beroperasi, Nilai 3 dikatakan agak lengang terutamanya pada hari-hari biasa.
Selepas 17 tahun beroperasi, Nilai 3 dikatakan agak lengang terutamanya pada hari-hari biasa.
A
A
A

SEREMBAN - Sejak kebelakangan ini terdapat banyak rungutan bahawa Pasar Borong Nilai 3 (Nilai 3) ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’, berbanding keadaannya yang sangat sibuk sejak mula beroperasi pada 2001.

Nilai 3, terletak kira-kira 28 kilometer dari sini, pernah menjadi tempat tumpuan membeli-belah yang menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk cenderahati, kraftangan, perhiasan rumah, aksesori perkahwinan, perabot, perhiasan lampu, aksesori kereta, pakaian dan tekstil.

Pasar borong itu bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat tempatan bahkan pengunjung dari seluruh pelosok negara serta pelancong asing kerana kepelbagaian barangannya, yang dijual pada harga berpatutan dan menjadi antara faktor tarikan pusat sehenti itu.

Nilai 3 turut menjadi lokasi tumpuan para peniaga untuk membeli barangan secara borong seperti cadar, karpet, tilam, pakaian dan sebagainya.

Lokasinya yang strategik dengan jarak kira-kira 45km dari Kuala Lumpur, 25km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan 7km dari plaza Tol Nilai, memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke Nilai 3.

Jadi tidak hairanlah jika Nilai 3 tidak pernah sunyi sehingga boleh dikatakan ‘tiada hari tanpa pengunjung’, bukan sahaja sukar mencari parkir malah berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya. Malah, pekerja di situ pula tidak menang tangan melayan pengunjung.

Kini, selepas 17 tahun beroperasi, keadaan di situ dikatakan agak lengang terutamanya pada hari-hari biasa.

Artikel Berkaitan:

Nilai 3 turut yang sebelum ini menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk membeli barangan secara borong seperti cadar, karpet, tilam, pakaian dan sebagainya kian semakin suram.
Nilai 3 turut yang sebelum ini menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk membeli barangan secara borong seperti cadar, karpet, tilam, pakaian dan sebagainya kian semakin suram.

Musykil mendengarkan pelbagai rungutan mengenai ‘keadaan’ terkini Nilai 3, Bernama membuat tinjauan pada hari biasa dan hujung minggu, untuk melihat aktiviti harian di pusat perniagaan itu.

Kami dapati suasana pada hari minggu agak sibuk berbanding hari bekerja yang lebih ‘sunyi’.

Pada hari minggu, keadaan agak sesak dengan kenderaan di sekitar blok-blok yang terdapat perniagaan karpet, perabot, kedai langsir, tilam, cadar, pasar runcit, pakaian dan tudung termasuk gerai-gerai makanan.

Orang ramai lebih cenderung memasuki premis yang terdapat ramai pengunjung termasuk premis-premis yang membuat jualan murah.

Bagaimanapun, terdapat juga premis menjual perabot jati, langsir dan karpet yang boleh dikatakan langsung tiada pelanggan terutamanya yang terletak di bahagian belakang atau agak tersorok lokasinya. Kelihatan pekerja banyak menghabiskan masa menunggu pelanggan atau mundar-mandir keluar masuk premis perniagaan masing-masing.

Meskipun bukan setiap premis dikunjungi orang ramai namun suasana di hari minggu ternyata memperlihatkan Nilai 3 itu masih ‘bernyawa’ walaupun tidak lagi setanding kemeriahannya berbelas tahun lalu.

Perbualan dengan peniaga sedikit sebanyak dapat memberikan jawapan dan gambaran mengenai keadaan masa kini di pasar borong itu.

Salah seorang peniaga karpet yang hanya ingin dikenali sebagai Mubashir, 41, memberitahu Bernama bahawa beliau kini mengharapkan musim-musim perayaan atau cuti sekolah untuk mendapatkan hasil perniagaan yang lebih baik.

“Sehingga tahun-tahun 2013 dan 2014 masih ramai pengunjung, malah boleh dikatakan tidak pernah putus hampir setiap masa, terutamanya ketika musim perayaan atau cuti sekolah.

“Keadaan sekarang memang berbeza, jumlah orang masuk kedai pun boleh dikira dengan jari, itu pun belum tentu mereka mahu beli, sebab itu terpaksa tunggu musim raya atau cuti sekolah,” katanya.

Menurut Mubashir, hasil jualan dahulu boleh mencecah RM3,000 sehari dan adakalanya lebih tetapi sekarang sukar untuk mendapat, walaupun sekadar ratusan ringgit.

"Jangan kata untung, nak tanggung kos sewa premis pun terasa berat. Bayangkan kalau satu premis sewa RM5,000, dua premis sudah RM10,000 belum lagi dikira bayaran elektrik dan air,” katanya.

Pelanggan dalam talian

Peniaga cadar dan permaidani, Muhammad Samman, 39, pula berkata beliau kini tidak lagi boleh bergantung kepada pengunjung ke premis untuk membeli-belah sebaliknya banyak berharap pada kalangan peniaga dalam talian untuk memborong barangannya.

“Saya memang tidak boleh tunggu orang datang beli barang, saya kena cari jalan untuk jual barang-barang. Kalau barang lama tidak jual, susah untuk bawa masuk barang baharu, sebab itu saya terpaksa jual barang kepada peniaga online kerana mereka selalunya beli borong.

“Itu pun ada masalah, kerana kalau saya jual barang pada harga borong, untung hanya sedikit berbanding jual terus kepada pembeli,” tambahnya.

Katanya, apabila sudah menjual barangannya kepada peniaga online, beliau sendiri tidak boleh masuk ke pasaran sama kerana: “Kalau peniaga online ambil dari saya pada harga RM90, mereka akan jual RM120, sama dengan harga saya jual di kedai dan mereka akan dapat untung RM30. Kalau saya berniaga online, boleh jual lebih murah tetapi secara tidak langsung akan bersaing dengan pelanggan saya pula."

Jualan runtuh

Sementara itu, bagi Numan, 22, pemilik perniagaan Khyber Maju berkata perniagaan perabot jati, permaidani dan cadar miliknya juga semakin kurang mendapat sambutan mulai 2017. Perniagaan beliau sudah beroperasi di situ sejak 15 tahun dulu, dengan menyewa empat lot premis pada harga RM20,000 sebulan.

“Perniagaan memang agak merudum, memang ada hari langsung tiada pelanggan, ini bukan lagi situasi yang asing. Sebab itu saya bergantung kepada peniaga yang membeli secara borong termasuk dari negeri-negeri lain.

“Walaupun barang agak susah nak jual tetapi kena juga cari barang-barang baharu untuk dibawa masuk, tak kan nak jual barang lama sahaja, nanti langsung orang tidak mahu beli,” katanya yang mengakui perabot jati paling susah untuk dijual.

Berikutan itu beliau secara berterusan mencari idea untuk mempelbagaikan barangan dengan mencuba nasib dalam perniagaan permainan kanak-kanak.

“Saya baru cuba sejak awal tahun ini, belum nampak sambutannya, kalau dalam seminggu ada dua tiga pelanggan datang dan beli, saya harap saya tidak tersalah buat pilihan untuk menjual permainan kanak-kanak,” katanya.

Setiap peniaga punya cara tersendiri merancakkan perniagaannya, contohnya Muhammad Nasser, 46, yang berkata walaupun jualan tidak memberangsangkan, usaha menjual barangan perlu dilipat gandakan kerana itu sahaja cara untuk mendapat keuntungan.

“Biasanya saya akan buat jualan murah atau jualan runtuh untuk melariskan barang, jadi dapatlah sedikit untung, sekurang-kurangnya ada daripada tiada langsung,” katanya.

Tiada kepuasan membeli

Sementara itu, Rahimah Abd Rashid, 54, yang mengunjungi Nilai 3 untuk mencari kelengkapan perkahwinan anaknya selain membeli perabot rumah berkata barangan yang dijual tidaklah murah dan tidak banyak beza dan jika dibandingkan dengan harga di kedai biasa.

“Contohnya, harga set-set dulang hantaran yang siap digubah antara RM200 hingga RM400 juga, tidak jauh beza pun dengan harga di Kuala Lumpur. Kalau dahulu masa baru-baru buka saya tengok banyak juga barang yang murah-murah.

“Saya datang sini sebab sangkakan boleh dapat harga lebih murah, inikan sepatutnya pusat beli-belah yang besar, sepatutnya boleh beli lebih murah. Dulu, permaidani besar-besar boleh dapat bawah RM200, tapi sekarang macam lagi mahal,” katanya yang datang dari Gombak, Selangor.

Mohd Sufian Bakri, 52, pula berkata harga jubah dan baju kurung agak mahal dan jika ada yang murah pun, tidak berkualiti dan tidak cantik.

“Untuk mereka yang datang dari jauh memang tidak berbaloilah. Saya datang dari Kota Tinggi, Johor dan singgah di sini pun selepas berkunjung ke rumah saudara di Nilai,” katanya sambil menambah, terdapat juga barangan kelihatan lusuh dan lama, namun tetap dijual.

Sementara itu, pencarian dalam talian berkaitan Nilai 3 mendapati rata-rata netizen yang pernah mengunjungi pusat perniagaan itu menyatakan kekesalan kerana harga barangan tidaklah murah seperti yang diperkatakan dan kebanyakan barangan dijual secara borong.

Tidak kurang juga yang merungut kerana kebanyakan peniaga menjual barangan sama umpamanya permaidani, tilam, perabot rumah dan langsir.

Selain itu, ada juga yang tidak puas hati kerana apabila tiba di Nilai 3, mereka mendapati banyak kedai sudah ditutup.

Ada juga dalam kalangan pengunjung yang berpendapat kawasan Nilai 3 hanya dipenuhi dengan pekerja warga asing, justeru sukar untuk memahami apa yang mereka tuturkan.