Pasangan kekasih ditahan bersama 1.3kg syabu

Noorzainy (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah yang dirampas.
Noorzainy (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KEPALA BATAS- Sepasang kekasih diberkas polis bersama 1.3kg dadah jenis syabu dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Permatang Sintok, Penaga di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan jam 5 petang itu hasil risikan yang dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik SPU mengenai aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan pasangan berkenaan sejak Januari lalu.

Menurutnya, suspek lelaki yang berusia 38 tahun baharu sahaja dibebaskan daripada penjara pada Januari lalu atas kesalahan dadah manakala pasangannya berusia 26 tahun juga mempunyai empat rekod jenayah lampau.

"Pemeriksaan yang dibuat di dalam rumah berkenaan menemui 1,299 gram dadah jenis syabu yang dibungkuskan di dalam plastik teh cina, 52.2 gram dadah sama pada bungkusan lain dan turut ditemui 660 biji pil yaba bersama mereka.

"Kedua-dua mereka dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini dan kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 7,500 penagih dadah," katanya pada sidang media di sini pagi tadi.

Noorzainy berkata, turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang dipercayai dibeli dengan hasil penjualan dadah.

Katanya, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM212,580 dan kedua-dua suspek kini direman untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di kawasan parkir Flat Taman Desa Sena di sini pada 25 Julai lalu dan merampas 82 gram syabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil soal siasat yang dilakukan mendapati suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan juga aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini sejak setahun lalu.

Katanya, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM12,300 boleh digunakan oleh 500 penagih dadah.

"Suspek berkenaan turut mempunyai empat rekod kesalahan lampau bersabit dengan kes dadah kini direman untuk tindakan lanjut.

"Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori," katanya.