'Bangunlah adik, sudah 14 hari koma...'

Ruzaini menemani Hassif yang kini masih tidak sedarkan diri selepas menjalani dua pembedahan.
Ruzaini menemani Hassif yang kini masih tidak sedarkan diri selepas menjalani dua pembedahan.
A
A
A

GUA MUSANG - 'Bangunlah Adik, sudah 14 hari Adik koma," itulah rintihan seorang ibu setiap hari apabila anak bongsunya tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika menaiki basikal pulang dari mengaji.

Menurut Ruzaini Bakar, 47, dari Taman Wangsa Mewangi, dia tidak menyangka keadaan anaknya, Muhammad Hassif Daneal Muhammad Sofian, 12, menjadi seteruk ini dan telah menjalani dua pembedahan.

Katanya yang juga ibu tunggal, meskipun pembedahan kedua selamat dilakukan semalam, namun Hassif masih tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Rutin setiap hari, adik akan pergi mengaji dengan basikal bersama kawan-kawan. Pada hari kejadian, 17 Julai lalu, dia pulang ke rumah dan memberitahu terjatuh basikal.

"Saya membawanya ke Hospital Gua Musang (HGM) dan adik mengadu pening. Selepas muntah empat kali, dia tidak sedarkan diri hingga ke hari ini.

"Adik dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) dan doktor mengesan ada darah beku di kepalanya. Lalu, adik dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut," katanya.

Keadaan Muhammad Hassif Daneal Muhammad Sofian, 12,semakin teruk setelah menjalani dua pembedahan.
Keadaan Muhammad Hassif Daneal Muhammad Sofian, 12,semakin teruk setelah menjalani dua pembedahan.

Tambah Ruzaini, di saat getir ini, dia mengharapkan doa dari semua agar anaknya pulih seperti sedia kala.

Artikel Berkaitan:

"Tiada apa yang saya harapkan selain doa dari semua. Doakan kesembuhan anak saya," katanya yang membesarkan empat anak dengan meniaga kuih di pasar malam.

Sejak anaknya ditempatkan di hospital, Ruzaini mengakui, dia hilang punca pendapatan kerana perlu menemani Hassif.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bagi meringankan beban mereka boleh menghubungi Ruzaini di talian 013-9231955 atau sumbangan disalurkan ke akaun Bank Islam, 03063020123492.