Gelagat ibu hamil curi tumpuan pertandingan ayam sorak

Antara peserta wanita yang menyertai pertandingan ayam sorak.
Antara peserta wanita yang menyertai pertandingan ayam sorak.
A
A
A

TUMPAT - Pertandingan ayam sinonim dengan lelaki namun kelibat dua ibu hamil yang menjadi peserta pertandingan ayam sorak di bon (gelanggang) Ciksu Padang Lati, Wakaf Bharu hari ini mencuri tumpuan ramai.

Nurul Tasha Hasmadi, 25, hamil enam bulan anak keempat, manakala Mismurni Dolah, 28, dari Melor Kota Bharu hamil lapan bulan.

Biarpun terpaksa bersaing dengan peserta lelaki, tetapi kerana minat mereka ketepikan perasaan 'canggung' di gelanggang ayam sorak.

Nurul Tasha berkata, dia tidak rasa kekok kerana hobi pelihara ayam hutan itu turut dikongsi bersama suami, Muhamad Azrul Azhar, 34.

"Saya terjebak dengan ayam sorak ini apabila sering menemani suami bertanding di Bachok, Pasir Mas dan paling jauh di Kedah.

Nurul Tasha bersama suaminya menunjukkan kehebatan ayam peliharaan yang diberi nama Baby untuk bertanding dalam pertandingan ayam sorak di bon Ciksu Padang Lati Wakaf Bharu.
Nurul Tasha bersama suaminya menunjukkan kehebatan ayam peliharaan yang diberi nama Baby untuk bertanding dalam pertandingan ayam sorak di bon Ciksu Padang Lati Wakaf Bharu.

"Kami dapat meluangkan masa bersama kerana berkongsi hobi sama dan anak-anak pun minat hobi yang sama," kata suri rumah dari Kampung Belukar Wakaf Bharu itu.

Setakat ini, Nurul Tasha mempunyai 20 ekor ayam hutan dan seekor daripadanya diberi nama 'Baby' kerana sangat manja dengannya.

Artikel Berkaitan:

Nurul Tasha berkata, hanya Baby yang sering dibawa bertanding dan tidak pernah menghampakannya kerana sudah 100 kali tersenarai sebagai pemenang.

"Disebabkan Baby yang dibeli di Kedah, saya terjebak dengan hobi lelaki ini bermula Februari lalu.

"Biarpun ada suara sumbang apatah lagi sedang mengandung, tetapi hobi ini tidak salah, malah ramai wanita di luar sama minat pelihara ayam hutan," katanya.

Menurutnya, setiap bulan dia berhabis duit untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada ayam peliharaannya seperti kurma, tomato, jagung, pisang dan dedak ayam.

Peserta wanita memberi sorakan supaya ayam mereka berkokok.
Peserta wanita memberi sorakan supaya ayam mereka berkokok.

Sementara itu, penganjur, Wahida Jusoh, 42, berkata, lebih 200 peserta menyertai pertandingan ayam sorak dan 20 daripadanya adalah peserta wanita.

"Saya tahu ramai wanita minat menyertai pertandingan ayam ini tetapi biasanya penganjurnya adalah lelaki.

"Bila ada penganjur wanita seperti saya, ia memberi peluang kepada peminat wanita menyertai pertandingan ayam sorak ini," katanya.

Menurutnya, pertandingan itu dinilai menerusi ayam paling banyak berkokok dalam setiap pusingan.

"Ayam perlu berkokok lebih 30 kokokan dalam masa 15 minit satu pusingan atau istilahnya mendapat 'cing' untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya yang baru membuka gelanggang tersebut sebulan lalu.