Kualiti air Kampung Kemumbung selamat

Kok Yew (kiri) ketika membuat pemantauan di lokasi tapak pelupusan sampah di Kampung Kemumbung, Sidam Kiri Jumaat lalu.
Kok Yew (kiri) ketika membuat pemantauan di lokasi tapak pelupusan sampah di Kampung Kemumbung, Sidam Kiri Jumaat lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Bacaan indeks kualiti air di tapak pelupusan sampah Kampung Kemumbung, Sidam Kiri berada pada tahap dua iaitu selamat untuk diguna pakai.

Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata, pemeriksaan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) antara Januari 2018 hingga Julai 2019 di stesen di hulu dan hilir tapak pelupusan, sesuai untuk loji rawatan, air minum, perikanan dan rekreasi air.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan terus memantau dan menguruskan sampah-sarap tersebut selepas siasatan dibuat.

"Hasil operasi bersepadu ke atas tapak pelupusan sisa pepejal menunjukkan ia beroperasi tanpa kebenaran hasil siasatan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Swcorp), JAS dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK)," katanya.

Tapak Pelupusan Kampung Kemumbung dipenuhi pelbagai sisa pepejal termasuk beg plastik, perabot, komponen kenderaan dan lain-lain.
Tapak Pelupusan Kampung Kemumbung dipenuhi pelbagai sisa pepejal termasuk beg plastik, perabot, komponen kenderaan dan lain-lain.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan tapak pelupusan adalah bekas kuari pasir yang ditambak pemilik tanah, namun aktiviti penambakan menjadi tidak terkawal apabila pelbagai jenis sisa pepejal dibenar untuk dilonggokkan.

"Pemilik tanah dipercayai memberi kebenaran kepada pelbagai pihak untuk melonggokkan sisa pepejal dari pelbagai premis termasuk komersial, perindustrian, institusi dan pembinaan dengan mengenakan bayaran tertentu," katanya.

Longgokan sampat terbabit melibatkan bahan buangan binaan, baju terpakai, perabot, komponen kereta, cebisan plastik, beg plastik, kulit durian dan botol.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Akta 672 Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam.

Sejak 2018, tujuh kes melonggokkan sisa pepejal tanpa kebenaran telah dilaporkan dengan lima daripada dibawa ke mahkamah dan disabitkan kesalahan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.