Calon SPM jadi tokan dadah di Besut

Pil dipercayai dadah jenis pil kuda yang dirampas daripada suspek. (Gambar kecil, Mohd Zamri)
Pil dipercayai dadah jenis pil kuda yang dirampas daripada suspek. (Gambar kecil, Mohd Zamri)
A
A
A

BESUT - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan polis kerana disyaki menjadi tokan dadah di sekitar Kampung Pengkalan Nyireh.

Remaja lelaki berusia 17 tahun dari sebuah sekolah di daerah ini diberkas, selain dadah jenis pil kuda berjumlah 141 biji turut dirampas oleh pegawai dan anggota pasukan khas Balai Polis Kampung Raja kira-kira jam 1.30 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bertindak atas maklumat, pasukan tersebut yang terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota menyerbu sebuah rumah di Kampung Sentosa di sini.

"Setiba di tempat kejadian, suspek didapati sedang menggali sesuatu di dalam pasir di belakang rumah tersebut.

“Apabila menyedari kehadiran polis, suspek terkejut dan cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas,” katanya.

Mohd Zamri berkata, pemeriksaan lanjut di tempat suspek ditahan telah menemui satu bekas plastik bulat di atas tanah dan didapati di dalamnya mengandungi sejumlah pil disyaki dadah jenis pil kuda.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah atau dadah lampau dan saringan awal air kencing negatif dadah.

“Siasat awal mendapati suspek menyembunyikan dadah dengan menimbus di dalam tanah dan mengambilnya apabila ada permintaan.

Artikel Berkaitan:

“Suspek dikatakan terlibat kurang daripada sebulan lepas dalam aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan ini.

"Bagaimanapun, dia tidak mengambil dadah tetapi sekadar menjadi tokan sahaja,” katanya.

Tambah Mohd Zamri, suspek juga dipercayai memperoleh dadah daripada seorang pengedar lain dan suspek dipercayai menjual dadah di beberapa kampung sekitar.

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.