Peralihan kuasa PM: Tun M, Anwar perlu bincang tarikh

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polemik peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan dapat dileraikan menerusi pertemuan empat mata antara kedua-dua pimpinan itu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan untuk Anwar menggantikan Dr Mahathir sudah disepakati Pakatan Harapan (PH) sejak sebelum menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.

Katanya, bagaimanapun berkenaan tarikh dan berapa lama Dr Mahathir mengemudi negara ia wajar dibincangkan semula dalam Majlis Presiden PH.

“Untuk meredakan ketegangan dalam PH berhubung isu peralihan kuasa ini, cuma Dr Mahathir dan Anwar sahaja boleh surutkan masalah berbangkit ini.

“Dr Mahathir dan Anwar kena bincang empat mata untuk menentukan bila tarikh beliau akan serahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya itu, rundingan ini mampu meredakan konflik peralihan kuasa yang menjadi topik perseteruan dalam PH,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia itu lagi, sepatutnya peralihan kuasa ini tidak berlaku kerana umum sudah maklum pengganti Dr Mahathir adalah Anwar.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Politik PKR, Datuk Johari Abdul berkata, sekiranya pimpinan tertinggi lain dalam PH sependapat dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk Dr Mahathir terus memimpin negara sehingga ke akhir penggal ia perlu dirunding semula dalam Majlis Presiden PH.

“Majlis Presiden PH dah muktamadkan sebelum ini iaitu Anwar adalah Perdana Menteri ke-8 selepas Dr Mahathir lepaskan jawatan itu apabila genap dua tahun memerintah.

Artikel Berkaitan:

“Tapi kalau pemimpin tak bersetuju, boleh mesyuarat semula. Saya tak ada masalah dengan pandangan Mohamed Azmin tetapi mesti dapat persetujuan daripada Majlis Presiden PH,” ujarnya.

Johari sempat mengirimkan soalan kepada Mohamed Azmin iaitu, adakah beliau lupa bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tidak lagi bersama PH.

“Soalan kepada Mohamed Azmin, adakah Abdul Hadi ada dalam Majlis Presiden PH? Ingat, Pas tidak lagi bersama kita. Mungkin Mohamed Azmin lupa,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini senada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan Dr Mahathir harus memimpin negara sehingga ke akhir penggal.

Menurutnya, kepimpinan Dr Mahathir diperlukan bagi memastikan usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.