255 projek Rumah Selangorku diluluskan

Haniza
Haniza
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 255 projek Rumah Selangorku diluluskan oleh kerajaan negeri sejak pelaksanaannya bermula 2014 sehingga 30 Jun lalu.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 31 projek telah siap dibina, 61 projek sedang dibina dan 163 lagi sedang dalam perancangan.

Menurutnya, sejumlah 189,829 permohonan turut direkodkan sehingga 1 Julai lepas.

"Daerah Kajang mencatatkan projek rumah Selangorku tertinggi dengan 55 projek dengan 10 daripadanya telah siap dibina, sembilan sedang dibina dan 36 lagi projek masih dalam perancangan.

"Kajang mencatatkan projek dalam perancangan tertinggi dengan 36 projek, diikuti 21 di Sepang dan 20 lagi di Selayang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Azmizam Zaman Huri (PKR-Pelabuhan Klang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor penggal dua di Bangunan Sultan Salahuddin hari ini.

Dalam sesi tersebut, Azmizam membangkitkan persoalan mengenai pecahan projek Rumah Selangorku dan jumlah permohonan diterima sehingga kini.

Artikel Berkaitan: