Pesara juruteknik lesap RM103,950 angkara Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Akibat terlalu takut namanya disenarai hitam akibat hutang, seorang pesara juruteknik Telekom Malaysia kerugian RM103,950, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata lelaki berumur 63 tahun itu ditipu setelah mangsa dihubungi suspek menyamar pegawai Celcom Center Pulau Pinang yang menghubunginya menggunakan telefon rumah.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan pada jam 10 pagi, Ahad lalu itu mengatakan mangsa mempunyai tunggakan bil telefon RM4000 dan akan disenaraihitamkan.

"Kemudian, talian mangsa disambungkan kepada pihak polis Pulau Pinang dan bercakap dengan seorang lelaki yang bernama Naquib berpangkat sarjan.

"Dia meminta butir kad bank untuk membekukan akaun pengadu atas alasan untuk siasatan polis.

"Mangsa telah memberikan kepada suspek yang menyamar polis itu nombor pin dan nombor debit kad Cimb Bank di samping telah aktifkan online bank-in RHB Bank mangsa atas arahan suspek tersebut," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada jam 3.49 petang, mangsa yang berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatApps itu menyedari sebanyak 12 transaksi dilakukan berjumlah RM 100,000.

"Transaksi itu dimasukkan ke dalam dua akaun iaitu atas RHB Bank atas nama Mohd Azimi Mohd Azhar dan bank Muamalat atas nama Hamidah Che Aw tanpa pengetahuan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa juga menyedari pada 1.02 petang hari yang sama, dia kehilangan lagi RM3,950 dari akaun Cimb Bank yang telah dipindah ke akaun Cimb Bank atas nama Kamre Ko.

"Mangsa merasakan dirinya ditipu dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.