Pesta Buku Kedah 2019 tak putus-putus pengunjung

Mohd Nazaruddin (tengah) bersama Pengurus Besar Karangkraf Book2u Stores Sdn Bhd, Raja Shahfaizal Raja Khairudin sempena Pesta Buku Kedah 2019.
Mohd Nazaruddin (tengah) bersama Pengurus Besar Karangkraf Book2u Stores Sdn Bhd, Raja Shahfaizal Raja Khairudin sempena Pesta Buku Kedah 2019.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pesta Buku Kedah 2019 semakin hangat dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus memeriahkan segenap ruang pameran sejak 10 pagi tadi.

Ada yang hadir semata-mata mahu bertemu penulis terkenal selain mendapatkan buku keluaran terbaru di pasaran dengan harga menarik.

Pengunjung, Norijah Abd Rahman, 55, dari Bertam, Pulau Pinang berkata, dengan adanya Pesta Buku Kedah 2019 memberi peluang kepada dirinya dan keluarga bertemu penulis idola anaknya, Ain Maisarah selain mendapatkan buku dengan harga diskaun.

"Secara kebetulan ada slot bicara Ain Maisarah di pentas utama selain sesi bertemu peminat. Ini peluang terbaik untuk anak saya yang bercita-cita menjadi seorang novelis mendapatkan pengalaman daripada penulis berbakat," katanya.

Sementara itu, penulis 'thriller' terkenal, Ramlee Awang Murshid berkata, melalui platform sama, beliau dapat berinteraksi secara langsung dengan pembaca di utara di samping memenuhi slot jelajah Anding Ayangan.

Kemeriahan Pesta Buku Kedah 2019 di Village Mall Sungai Petani.
Kemeriahan Pesta Buku Kedah 2019 di Village Mall Sungai Petani.

Menurutnya, beliau terharu apabila ada pengunjung sanggup membeli novel tulisannya semata-mata mahu mendapatkan tandatangannya biarpun sudah memiliki koleksi sama di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah sambutan hangat di utara dan saya berharap penganjuran akan diteruskan pada masa depan bagi memberi peluang orang utara mendapat manfaat daripada bahan bacaan bermutu sempena pesta buku ini," katanya.

Sementara itu menyentuh perkembangan terbaru beliau, Ramlee berkata, pembaca boleh menonton hasil karyanya menerusi Banja Manggala dan Ungu Karmila yang difilemkan dan bakal ditayangkan tahun hadapan.

"Insya-ALLAH kini sedang menunggu kelulusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan dijangka memasuki pasaran pada 2020," katanya.

Slot Bicara Seram Thriller bersama Ramlee (tengah) dan Fitri Hussin.
Slot Bicara Seram Thriller bersama Ramlee (tengah) dan Fitri Hussin.

Sementara itu, seorang lagi penulis buku, Mohd Nazaruddin Yusoff berkata, kehadirannya ke Pesta Buku Kedah membolehkan beliau berkongsi ilmu pembelajaran secara santai kepada masyarakat.

"Peluang yang ada saya gunakan untuk mengetengahkan kaedah pembelajaran secara santai dan tidak terbeban. Kaedah pembelajaran di bilik darjah selalunya sangat panjang untuk menghabiskan silibus, namun melalui kaedah pembelajaran menyeronokkan suasana belajar menjadi lebih menarik. Itu konsep yang saya bawakan," katanya.

Pasangan istimewa Mastura Zahari, 33, dan Mohd Hafiz Abd Rahman, 36, serta anak mereka, Mohd Dhufran, 3, turut memeriahkan Pesta Buku Kedah.
Pasangan istimewa Mastura Zahari, 33, dan Mohd Hafiz Abd Rahman, 36, serta anak mereka, Mohd Dhufran, 3, turut memeriahkan Pesta Buku Kedah.

Beliau yang terkenal dengan nama pena Kipas Hikmat mengendalikan slot Fuiyooo Senangnya Matematik di pentas mini Pesta Buku Kedah.

Turut berlangsung pada hari keempat Pesta Buku Kedah, Slot Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan iaitu Pertandingan Membaca Braille dan persembahan maskot Omar dan Hana yang mencuri tumpuan kanak-kanak.

Gelagat mencuit hati kanak-kanak menyaksikan persembahan maskot Omar dan Hana.
Gelagat mencuit hati kanak-kanak menyaksikan persembahan maskot Omar dan Hana.

Pesta Buku Kedah 2019 berlangsung di Village Mall Sungai Petani bermula 24 Julai sehingga 30 Julai 2019 menyasarkan jumlah pengunjung seramai 100,000 orang.