Pukul anak suruh beli barang dapur

Osman
Osman
A
A
A

TAIPING - Seorang bapa bertindak di luar batasan apabila memukul anak lelakinya berusia 12 tahun selepas menyuruh anaknya itu membeli barang dapur tanpa memberikan wang.

Malah hasil siasatan polis mendapati kanak-kanak lelaki berkenaan dan kakaknya berusia 15 tahun sering menjadi mangsa dera bapanya berumur 40 tahun yang tinggal bersama mereka di sebuah rumah di Simpang, Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian Selasa lalu selepas kanak-kanak lelaki berkenaan dibawa jirannya ke balai polis sekitar jam 5 pagi untuk membuat aduan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila bapa mangsa menyuruhnya membeli barang dapur tetapi kanak-kanak lelaki berkenaan tidak mempunyai wang.

“Bapanya kemudian memarahi anaknya itu dan bertindak memukul mangsa menggunakan rotan di bahagian punggung, betis dan lengan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata, siasatan lanjut mendapati kakak mangsa telah didera bapanya sejak berumur 12 tahun, namun kesan lama didera sudah tidak kelihatan berbanding adik lelakinya yang mempunyai kesan pukul baharu dan lama di badan.

“Kedua-dua beradik dihantar ke Hospital Taiping untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan mereka kini berada di wad hospital berkenaan.

“Bapa mereka pula telah ditahan dan direman bermula semalam (26 Julai) sehingga Isnin ini.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.