Veteran tentera tak berpencen mohon kebajikan ditambah baik

Ismail (duduk, tengah) pada sidang media Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail (duduk, tengah) pada sidang media Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM) di Kuala Lumpur, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM) menuntut Kementerian Pertahanan menambah baik beberapa aspek bantuan kebajikan terhadap bekas perajurit tersebut.

Yang Dipertua merangkap Presiden PVATTBM, Ismail Abidin, meminta kerajaan untuk memberikan bantuan setara kepada anggota tentera yang ditamatkan perkhidmatan di bawah maksud “perkhidmatan tidak lagi diperlukan” supaya menikmati faedah seperti veteran tentera yang lain.

“Saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan bantuan kepada mereka yang diberhentikan di bawah Peraturan Para 49 kerana itu akta yang digubal sejak pemerintahan British dan ia tidak lagi relevan diguna pakai pada masa ini.

“Kalau boleh selepas tiga tahun diberhentikan, nama mereka dibersihkan dan diberikan buku baru supaya mereka mendapat kemudahan seperti mana-mana veteran lain”, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Ismail turut mengemukakan saranan agar keuntungan perniagaan anak-anak syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diagihkan kepada veteran ATM untuk tujuan membaik pulih rumah.

“Ada lebih 60 anak-anak syarikat di bawah LTAT, apa salahnya jika keuntungan perniagaan itu disalurkan sedikit untuk kebajikan bekas tentera terutamanya membaiki rumah yang uzur.

“Bahkan, LTAT itu juga boleh mengambil veteran tentera untuk menganggotai ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat memandangkan bekas leftenan dan jeneral memiliki kelayakan untuk mengisi posisi berkenaan,” sarannya.

Menyentuh aspek kebajikan veteran yang kebanyakan terdiri daripada golongan warga emas, Ismail menyeru Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dapat memudahkan penyaluran bantuan perubatan untuk kes-kes penting.

Artikel Berkaitan:

“Masalah perubatan penting misalnya pembedahan dapat disegerakan. Sebab sekarang kalau veteran memerlukan bantuan seperti katil atau kerusi roda permohonan diproses memakan masa hingga enam bulan, kadang-kadang veteran dah meninggal dunia tapi bantuan belum dapat. Kalau boleh lantik farmasi di bawah JHEV di setiap negeri ia akan mudahkan kami veteran. Dan adalah lebih baik jika bantuan sara hidup veteran dinaikkan dari RM300 kepada RM500

“Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) perlu diwujudkan di setiap negeri bagi memudahkan urusan veteran untuk mendapatkan bantuan”, kata Ismail.

Dalam pada itu, beliau turut merakam ucapan penghargaan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atas suntikan elaun kenangan kepada hampir 70,000 penerima dan bakal penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi menghargai jasa mereka yang berkhidmat untuk negara semasa zaman darurat bermula Januari 2020.