Agong selesa bersama rakyat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjawab pertanyaan para pengamal media pada satu temubual eksklusif sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara baru-baru ini.
 -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah citra Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang saling tak tumpah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah.

Keperibadian Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sebagai insan prihatin, merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat terutamanya semasa bencana sememangnya tidak asing lagi khususnya bagi rakyat Pahang kerana ia sudah menjadi kelaziman bagi keluarga Diraja Pahang sejak sekian lama.

Video tular yang menunjukkan Sultan Abdullah turun mencemar duli dari kenderaan rasmi bagi membantu mangsa kemalangan semasa dalam perjalanan ke mesyuarat pra-Kabinet bersama-sama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya baru-baru ini, adalah antara sifat peduli rakyat Seri Paduka.

Begitu juga dengan laporan yang menunjukkan Sultan Abdullah beratur sendiri ketika membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Pahang membuktikan Seri Paduka tidak menjadikan kedudukannya di singgahsana sebagai penghalang untuk mendekati rakyat.

Bertitah mengulas dua laporan itu, Sultan Abdullah menyifatkan kejadian yang ditularkan di media sosial itu bukanlah bagi mendapatkan publisiti sebaliknya merupakan sesuatu yang sudah sebati dan sering dilakukan semasa di Pahang.

"Bukan saya nak pujian, tepukan, nak dapat kredit...saya kata dengan ikhlas, saya akan teruskan. Bukan sekadar daripada Almarhum ayahanda saya, bahkan daripada nenenda saya. Jadi, ini telah sebati dengan kita. Saya lebih selesa kalau saya dengan rakyat.

"Masa hari pertama saya datang sini saya jumpa dengan Perdana Menteri (Dr Mahathir), saya kata ‘Tun, istana terlalu besar untuk saya, saya tidak biasa duduk istana besar’. Dia senyum sahaja... itu yang saya suarakan, saya akan terus cuba dekat dan bersama dengan rakyat walau di sini sekalipun,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah bertitah demikian ketika wawancara khas bersama media di Istana Negara baru-baru ini sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Julai ini.

Menceritakan kembali kejadian semasa membantu mangsa kemalangan itu, sambil tersenyum Sultan Abdullah bertitah selain ingin membantu sekiranya ada mangsa yang cedera, Seri Paduka juga mempunyai satu lagi sebab tersendiri.

" ...selalunya trafik sesak apabila ada kemalangan. Jadi, itu antara sebabnya. Kalau boleh saya nak cepat alihkan kenderaan ke tepi, panggil polis supaya ‘jem’ itu cepat selesai. Itu antara sebabnyalah selain membantu dengan ikhlas.

"Kalau ada kecederaan, kita bantu bawa pergi hospital dan kedua pasal trafik...and now you know (kini, anda tahulah kisahnya),” titah Seri Paduka.

Gara-gara video tular itu, Sultan Abdullah turut berkongsi cerita bahawa ada individu yang membuat panggilan kepada Seri Paduka bertanyakan bila mahu ke Melaka kerana mereka hendak menunggu di sana dan melakukan kemalangan ‘olok-olok’ supaya mereka mendapat peluang dibantu oleh Seri Paduka.

Dekatkan institusi diraja dengan rakyat

Diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, sememangnya kehidupan Sultan Abdullah tidak dapat lari daripada protokol. Namun, Seri Paduka tidak pernah menjadikannya sebagai kekangan untuk mendekati rakyat.

Kata-kata yang sering dilafazkan oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah iaitu ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ menjadi pegangan Seri Paduka sehingga kini.

"Saya selalu anggap bahawa saya adalah rakyat juga, saya tidak anggap saya sebagai raja... protokol itu ada, tetapi saya tak boleh kaku sangat. Kadang kala secara spontan, saya akan buat apa yang boleh mendekatkan saya dengan rakyat secara spontan.

"Saya nak kata saya tidak boleh buat begitu begini, susah juga...yang mana boleh turun padang, yang mana boleh dekat dengan rakyat, yang mana boleh bersalam dengan rakyat, yang mana boleh bercakap dengan rakyat, saya akan buat,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah bertitah sebagai Ketua Islam di empat negeri yang diperintah oleh Yang di-Pertua Negeri, tiga Wilayah Persekutuan serta di Pahang, Seri Paduka cuba meluangkan masa untuk menunaikan solat Jumaat secara bergilir-gilir di sana selain menunaikan solat Jumaat di Masjid Istana Negara supaya dapat lebih dekat dengan rakyat.

Pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong

Mengulas pelantikan sebagai Sultan Pahang keenam dan pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Sultan Abdullah sama sekali tidak pernah menjangka kedua-dua perkara itu berlaku dalam tempoh yang singkat.

Keadaan ‘di luar jangka’ itu menyebabkan Seri Paduka menerima pelantikan dan pemilihan untuk kedua-dua jawatan itu dengan perasaan yang bercampur baur.

"Saya memang tidak jangka yang saya akan dianugerah menjadi Sultan Pahang dan seterusnya sebagai Agong kerana ketika itu pada Januari, Paduka Ayahanda masih lagi ada dan sihat.

"Namun kemudian, Majlis Raja-Raja telah menyatakan ada pertukaran atas sebab-sebab yang kita semua sudah maklum. Pada ketika itu, saya tidak memikir soal saya akan menjadi Yang di-Pertuan Agong dan saya tidak fikir saya akan menjadi Sultan kerana kalau mengikut perkiraan penggiliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong yang dahulu akan tamat pada tiga tahun lagi.

"Jadi, sukar untuk saya menyatakan apa akan terjadi dalam masa dua tiga tahun kerana tiada siapa yang dapat meramalkan. Samalah dengan saya...saya tidak boleh buat ramalan. Apabila ini sudah terpanggil dan terjadi, saya terima hakikat dengan perasaan sedih ada, pilu pun ada,” titah Seri Paduka.

Bagaimanapun, Sultan Abdullah bersyukur serta reda dengan ketentuan Allah S.W.T serta bersedia dengan tanggungjawab yang diamanahkan itu dan memerlukan segala dorongan, sokongan selain pandangan yang boleh membawa kebaikan untuk Malaysia.

Pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Selasa ini juga mencatatkan sejarah tersendiri bagi Sultan Abdullah kerana pada tarikh bersejarah itu, Seri Paduka akan genap berusia 60 tahun.

"Hari itu adalah hari pertama saya menjadi 60 tahun. On my birthday (pada hari ulang tahun keputeraan saya)... secara kebetulan dan dan pertama kali saya ditabal sebagai seorang Raja. Sudah tentu ia satu hari yang cukup besar ertinya.

"Cukup signifikan. Selalu kalau kita (berusia) 60 (tahun), dah fikir tetang persaraan. Saya pula baru nak start (mula) kerja. Saya berharap hari itu akan menjadi hari yang cukup memorable (tidak dapat dilupakan) bermakna) bagi saya berdua. Saya mengharapkan doa daripada rakyat supaya kita semua berada dalam keadaan yang aman dan selesa,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah mengakui pendedahan awal menjadi Putera Mahkota seawal usia 15 tahun dan Pemangku Raja Pahang semasa berusia berusia 20 tahun banyak membantu dirinya dalam menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong sejak Januari yang lalu.

Almarhum Sultan Ahmad Shah yang sering mengamanahkan Seri Paduka untuk menyelesaikan permasalahan di peringkat negeri, mewakili pada Mesyuarat Raja-Raja mahupun persatuan bola sepak telah menjadikan Sultan Abdullah lebih matang dalam melaksanakan tugas.

"Ayahanda memang meletakkan expectation (harapan) yang begitu tinggi kepada saya, daripada muda sampai tua, baginda telah memberi banyak exposure (pendedahan) dan peluang untuk saya. Didedahkan dengan jawatan Tengku Mahkota dan Pemangku Raja Pahang.

"Itulah pengalaman yang amat membantu dan saya begitu terhutang budi (dengan Paduka Ayahanda) dan I hope I can deliver (saya berharap saya dapat melaksanakannya). Insya-Allah,” titah Seri Paduka.

Tunku Azizah, Lionel Richie dan Istana Abdulaziz

Dalam kesibukan baginda menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah yang meminati alunan lagu penyanyi terkemuka Lionel Richie, menzahirkan rasa rindu kepada ‘rumah’ di Istana Abdulaziz di Kuantan menyebabkan Seri Paduka meluang masa untuk pulang ke sana.

Di istana itulah Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membesarkan putera dan puteri Seri Paduka berdua.

"Istana Abdulaziz is a home to us (adalah rumah kami). So obviously we treasure our best time there (Oleh itu, kami amat menghargai masa-masa indah kami di sana) dan memang, saya rindukan katil saya, saya rindukan gim saya. Namun, Alhamdulillah di Istana Negara pun semua staf, penghuni di sini begitu profesional,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah, yang semakin membiasakan diri dengan kehidupan di Istana Negara, bertitah bahawa waktu paginya dimulakan dengan memeriksa telefon selain melihat jadual kerja sebelum ke gimnasium dan kemudian menerima menghadap para menteri dan pegawai kerajaan.

Ditanya tentang Tunku Azizah, Sultan Abdullah menganggap Raja Permaisuri Agong sebagai seorang yang teliti, romantik dan berpendirian teguh.

"Kelebihan dia (Permaisuri), dia begitu hands on, very meticulous, particular...she is also romantic..she gives strong opinion and is very good at that. Alhamdulillah..." titah baginda. -Bernama