SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman juarai AAY 2019

Pembentang dari SM Imtiaz YT Kemaman membentangkan projek CO2NCER mereka pada sesi pembentangan.
Pembentang dari SM Imtiaz YT Kemaman membentangkan projek CO2NCER mereka pada sesi pembentangan.
A
A
A

KEMAMAN - Projek inovatif sistem pengesan awal kebakaran hutan (CO2NCER) ciptaan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kemaman melayakkan sekolah itu menjuarai program Sentuhan Harapan Yayasan Petronas - All About Youth (AAY) 2019.

Projek yang direka untuk membantu pasukan bomba dan penyelamat itu berjaya menambat hati panel hakim sekali gus menewaskan sembilan buah sekolah lain di negeri ini yang turut bertanding.

CO2NCER itu berfungsi membekalkan maklumat suhu, kadar peratusan asap, kelajuan angin dan koordinat lokasi secara automatik kepada pasukan bomba dan penyelamat melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Ketua pasukan sekolah itu, Ahmad Faris Wajdan berkata, mereka teruja apabila dinobat sebagai pemenang peringkat negeri yang bukan senang untuk dirangkul kerana persaingan sengit antara kesemua sekolah.

"Kemenangan kami adalah hasil daripada sokongan sukarelawan Petronas atau 'buddies', guru serta sekolah.

"Kami telah bekerja keras dalam membina projek ini dan akan terus berusaha sehingga ke peringkat akhir," katanya.

Program yang berasaskan pertandingan bermanfaat kepada komuniti dan persekitaram itu bertemakan 'Mengurangkan Pelepasan Karbon Untuk Masa Depan Yang Lebih Baik.

Seramai 200 pelajar tingkatan dua dan empat dari 10 buah sekolah di Terengganu diberi tempoh tiga bulan bagi membina dan melaksanakan projek kemasyaratan yang bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon kepada alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Guru pembimbing pasukan pelajar itu, Idrus Ishak berkata, program itu bukan sahaja menyediakan persekitaran yang selamat kepada pelajar untuk meneroka dan bereksperimen malah ia menggalakkan mereka untuk berfikir tentang suasana di alam sekeliling.

"Projek yang dibina ini adalah daripada hasil keprihatinan mereka kepada kejadian kebakaran hutan yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah (berdiri, tengah) bersama pasukan SM Imtiaz YT Kemaman yang menjuarai AAY 2019 peringkat negeri.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah (berdiri, tengah) bersama pasukan SM Imtiaz YT Kemaman yang menjuarai AAY 2019 peringkat negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata, objektif Petronas adalah untuk menjadikan perubahan iklim atau 'climate change' sebagai subjek perbualan dalam kalangan pelajar bagi mengasah kemahiran mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif untuk masa depan yang mampan.

"Kami teruja melihat para pelajar dapat mengaplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam menawarkan penyelesaian untuk masa depan yang lebih cerah.

"Dengan sokongan guru-guru dan sukarelawan Petronas, pelajar telah berjaya menjadi inovatif dalam menawarkan penyelesaian praktikal untuk kesejahteraan masyarakat," katanya.

Setiap pasukan dinilai dari segi kreativiti, pelaksanaan dan kelestarian projek, impak kepada komuniti dan persembahan projek.

Lita berkata, Yayasan Petronas percaya AAY 2019 akan memberi pelajar kemahiran untuk berfikir secara kreatif dan bekerjasama untuk membantu membangunkan keupayaan mereka sebagai pemimpin masa depan.

"AAY juga menyasarkan untuk menggerakkan inovasi sosial dan menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai nisbah 60:40 pengambilan jurusan STEM: Sastera selain matlamat negara mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Sejak 2014, AAY telah menjangkau lebih 200 sekokah dan 4,600 pelajar di mana lebih 150 sukarelawan Petronas telah memupuk dan membimbing para peserta, menghasilkan 200 projek kemasyarakatan yang berimpak besar antaranya sistem amaran pengesan banjir, tandas mesra alam dan aplikasi telefon pintar nota sejarah.

AAY disokong oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.