600 dipindahkan akibat kebakaran hutan di Sardinia, Itali

Pesawat terlibat dalam usaha memadam kebakaran hutan. - Foto The New York Times
Pesawat terlibat dalam usaha memadam kebakaran hutan. - Foto The New York Times
A
A
A

ROME - Seramai 600 orang telah dipindahkan dari pulau Sardinia di Lautan Mediterranean akibat kebakaran hutan yang melanda bahagian timur laut dan selatan pulau itu pada Ahad, Sputnik memetik media tempatan Il Fatto Quotidiano.

Penduduk bandar Posada di pantai timur pulau itu, serta pelancong yang bercuti di pulau terbabit, adalah antara mereka yang dipindahkan, menurut laporan itu.

Perkhidmatan bomba pulau itu telah menutup jalan raya sepanjang 40 kilometer yang menghubungkan bandar Siniscola dan Olbia sebagai langkah berjaga-jaga.

Sebanyak tujuh pesawat terlibat dalam usaha memadam kebakaran hutan, manakala 12 unit peralatan memadam kebakaran digunakan dalam operasi memadam kebakaran di darat.

Akhbar itu memetik kenyataan presiden Sardinia Christian Solinas, yang menggesa perkhidmatan pertahanan awam untuk mengukuhkan armada udara pemadam kebakaran dan menghantar amaran awal mengenai pengaktifan Mekanisme Pertahanan Awam Eropah.

Presiden tidak menolak kemungkinan bahawa kebakaran itu mungkin akibat perbuatan yang disengajakan dan mengarahkan perkhidmatan perhutanan untuk meningkatkan langkah menjejaki mereka yang bertanggungjawab.

Wilayah selatan Itali, terutamanya pulau terbesar dan paling ramai penduduk di Sicily, dilanda kebakaran hutan pada Julai.

Tiga orang maut akibat kebakaran dan cuaca panas di Sicily, dan kerosakan akibat bencana itu berjumlah sekurang-kurangnya €260 juta (AS$286 juta). - Bernama