Tuduh KPN menipu, polis rekod keterangan Lokman Adam

Lokman hadir ke Bukit Aman kira-kira jam 10.15 pagi hari ini, untuk direkod percakapan berhubung kenyataannya yang mendakwa Ketua Polis Negara menipu dalam siasatan video intim membabitkan seorang menteri Kabinet.
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hadir ke Bukit Aman untuk direkod keterangan susulan dakwaannya yang menuduh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menipu berkenaan siasatan kes penyebaran video intim membabitkan seorang menteri Kabinet.

Lokman ketika ditemui pemberita berkata, beliau tetap dengan dakwaannya bahawa Ketua Polis Negara tidak bercakap benar.

"Beliau (Abdul Hamid) tidak layak menjadi Ketua Polis Negara kerana tidak berkata benar tentang dapatan forensik CyberSecurity.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis beritahu Farhash rakaman CCTV sudah dipadam

Pengecaman wajah negatif: Lokman cabar KPN dakwa Haziq kerana menipu

"Berlaku penyembunyian hasil dapatan contoh DNA daripada tilam tersebut. Banyak benda boleh diekstrak sebagai asid deoksiribonukleik (DNA) seperti peluh, kuku dan bulu roma," dakwanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Bukit Aman di sini hari ini.

Lokman sebelum ini mencabar Abdul Hamid mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana membuat laporan palsu.

Katanya, gesaan itu susulan kenyataan akhbar Abdul Hamid sebelum ini yang mengesahkan pelaku dalam video intim mengaitkan Haziq dengan seorang menteri kanan Kabinet adalah negatif.

"Maknanya Haziq sebelum ini memberi keterangan palsu dan saya cabar Ketua Polis Negara untuk ambil tindakan ke atas Haziq kerana memfitnah seorang menteri kanan," dakwa Lokman sebelum ini.

Pada 18 Julai lalu, Abdul Hamid mengesahkan kebarangkalian video intim tersebut tulen adalah tinggi, namun hasil analisis menerusi proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dikaitkan.