Hasil padi meningkat 10 peratus guna dron

Wan Azrain (kanan) menunjukkan demonstrasi penggunaan dron bagi kegunaan sawah padi di Balai Raya Parit 12 Sungai Panjang.
Wan Azrain (kanan) menunjukkan demonstrasi penggunaan dron bagi kegunaan sawah padi di Balai Raya Parit 12 Sungai Panjang.
A
A
A

SABAK BERNAM - Penggunaan teknologi dron dalam sektor tanaman padi negara mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman itu sehingga 10 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif MATA Aerotech, Wan Azrain Adnan berkata, perkara itu telah lama dibuktikan di Taiwan yang memperkenalkan teknologi itu sejak 10 tahun lalu.

"Dari segi kejayaan teknologi dron bagi sektor tanaman padi di Taiwan membuktikan memang banyak kelebihannya termasuk meningkatkan pengeluaran hasil padi.

"Apabila menggunakan dron, pesawah tak perlu masuk ke dalam sawah yang boleh merosakkan tanaman sekiranya terpijak pokok padi hingga menyebabkan hasil berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Demonstrasi Teknologi Dron kepada Projek Padi IADA Barat Laut Selangor Balai Raya Parit 12 Sungai Panjang di sini hari ini.

Wan Azrain berkata, dron juga dapat meningkatkan hasil tanaman dengan pemetaan tepat dan pantas serta dapat menganalisa kualiti dan kesihatan tanaman.

"Penyemburan baja dan racun menggunakan dron boleh dilaksanakan secara bersasar," katanya.

Beliau memberitahu, analisis data disediakan teknologi dron membantu menambah-baik prestasi pengurusan ladang dengan memiliki maklumat ladang terkini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kajian juga membuktikan penggunaan dron di sawah mampu mengurangkan kos semburan meracun sebanyak 25 peratus.

Selain itu, katanya, pesawah juga dapat menjimatkan kos tenaga kerja terutama kebergantungan terhadap buruh asing sehingga 30 peratus.

Bagaimanapun Wan Azrain berkata, teknologi dron membuka peluang kepada golongan muda menceburi kerjaya sebagai 'pilot drone' dalam sektor pertanian lebih moden.

"Kerjaya (pilot drone) ini semakin meningkat dan berpotensi besar untuk diterokai seperti anak-anak muda di China dan Taiwan yang terlibat dalam sektor pertanian dan lain-lain perkhidmatan," katanya.