Wanita UMNO, Muslimat Pas lapor polis FB hina nabi

Wanita UMNO dan Muslimat Pas Kawasan Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang hari ini tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Wanita UMNO dan Muslimat Pas Kawasan Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang hari ini tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW.
A
A
A

KOTA TINGGI - Wanita UMNO dan Muslimat Pas dari kawasan Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang hari ini tampil ke Balai Polis Kota Tinggi bagi membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Rashidah Ismail berkata, laporan itu menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan susulan status pemilik akaun Facebook menggunakan nama Wendy Loong yang telah memuat naik isi kandungan menghina agama Islam.

"Kami mendesak pihak polis segera menahan dan mengambil tindakan ke atas pemilik akaun Facebook ini dan mana-mana individu yang dengan sengaja melakukan tindakan provokasi menghina agama Islam dan Rasulullah SAW.

"Perbuatan Wendy Loong bukan saja menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini, bahkan telah mengguris perasaan dan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia," katanya selepas membuat laporan polis, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, perbuatan berkenaan juga jelas boleh disabitkan kesalahan jenayah mengikut Seksyen 298 A (1) Kanun Keseksaan dan sepatutnya dikenakan hukuman berat.

Beliau turut menyifatkan penghinaan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sebagai isu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.

"Tindakan tegas pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara sepatutnya menjadi isyarat bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekali pun adalah satu jenayah dan perbuatan yang tidak boleh dikompromi," katanya.

Artikel Berkaitan: