Dua kakitangan TNB cedera terkena renjatan elektrik ketika kerja penyelenggaraan

JOHOR BAHRU – Dua lelaki dipercayai kakitangan TNB cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah pencawang elektrik di Jalan Kangkar Tebrau, di sini, pada Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Fadzil Yahya berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.10 petang.
Menurutnya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba enam minit kemudian.
“Setibanya pasukan operasi di lokasi, didapati benar berlaku insiden renjatan elektrik ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan sehingga mengakibatkan dua lelaki dewasa cedera.
“Pasukan operasi memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 6.45 petang selepas keadaan di lokasi kejadian dipastikan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

