68 bot asing bernilai RM60 juta dirampas

Rashidilhadi (kanan) memeriksa hasil tangkapan ikan daripada dua bot yang ditahan di Jeti Zon Maritim Kemaman hari ini.
Rashidilhadi (kanan) memeriksa hasil tangkapan ikan daripada dua bot yang ditahan di Jeti Zon Maritim Kemaman hari ini.
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan seramai 610 nelayan asing bersama 68 buah bot yang dianggarkan bernilai RM60 juta pada Op Naga Barat sejak 26 April lalu hingga semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, ia termasuk tangkapan terbaharu membabitkan dua buah bot bersama 21 tekong dan awak-awak warga Vietnam di sekitar 58 hingga 60 batu nautika dari Kuala Kemaman, di sini, kira-kira jam 3.30 dan 4.15 petang semalam.

Katanya, kawasan operasi meliputi perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu dan sebahagian perairan Pahang.

"Sekarang sudah masuk hari ke-91 operasi berjalan dan daripada jumlah 68 bot yang ditahan ini majoritinya adalah bot nelayan Vietnam.

"Operasi ini yang diketuai APMM dijalankan secara bersepadu untuk memastikan kes-kes kemasukan bot nelayan asing dapat dibanteras hingga ke akar umbi," katanya pada sidang media di Jeti Zon Maritim Kemaman di Bukit Kuang, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seramai 21 nelayan Vietnam yang ditahan berusia antara 17 hingga 67 tahun.
Seramai 21 nelayan Vietnam yang ditahan berusia antara 17 hingga 67 tahun.

Operasi turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Artikel Berkaitan:

Rashidilhadi berkata, menerusi operasi itu kesemua agensi penguat kuasa berkongsi maklumat dan membuat rondaan bersama di laut dan udara.

Katanya, operasi yang dilakukan atas arahan Kabinet akan diteruskan sehingga mendapat arahan seterusnya daripada kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan terbaharu, Rashidilhadi berkata, kesemua nelayan yang ditahan berusia antara 17 hingga 67 tahun.

Bagaimanapun, kata beliau, kedua-dua bot terbabit berjaya dipintas dan ditangkap selepas sejam melarikan diri kerana sebaik perbuatan mereka leka menangkap ikan disedari kapal ronda APMM mereka cuba meloloskan diri dengan memotong pukat.

"Ekoran penahanan dua buah bot ini kita merampas bot bersama 5 tan ikan campur, 1.5 tan ikan baja, anggaran 3,500 liter diesel dan peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Kesemua nelayan yang ditahan juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Kedua-dua bot tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman pagi tadi," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(a) akta sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.