Tak serik ditangkap kerana dadah

Barang rampasan yang dirampas dalam Ops Bersepadu sekitar Ipoh pada Isnin lalu. - FOTO PDRM
Barang rampasan yang dirampas dalam Ops Bersepadu sekitar Ipoh pada Isnin lalu. - FOTO PDRM
A
A
A

IPOH - Dua lelaki tempatan berusia 38 dan 31 tahun ditahan polis bersama dadah dipercayai jenis heroin dalam Ops Bersepadu, Isnin lalu di dua lokasi berasingan sekitar Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek pertama berusia 38 tahun ditahan ketika sedang duduk di atas motosikal jenis SYM di tepi jalan berhadapan kedai makanan dan minuman di Persiaran Desa Rishah sekitar jam 10 malam.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu plastik berwarna hitam diikat di dalam raga motosikal dan mengandungi dadah jenis heroin seberat 175.23 gram (g) dianggarkan bernilai RM5,000.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek sebelum ini pernah ditangkap atas satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi suspek berusia 31 tahun di tahan pihak polis di hadapan sebuah kediaman di Taman Bercham Baru pada hari sama sekitar jam 2.15 petang.

"Hasil pemeriksaan dijalankan menjumpai sebuah kotak bertulisan 'natural black' yang dipegang di tangan kanannya yang mengandungi dadah jenis heroin dianggarkan seberat 30g bernilai RM300.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat kesalahan lampau di mana satu di bawah Seksyen 39(1) ADB 1952 dan tiga lagi di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952," katanya.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 23 sehingga 29 Julai dan kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952.

Artikel Berkaitan: