Luahan Ifan...isteri selamat disemadikan

Foto:Instagram Ifan atau Riefian Fajarsyah
Foto:Instagram Ifan atau Riefian Fajarsyah
A
A
A

AKHIRNYA kehilangan isteri vokalis kumpulan Seventeen, Ifan iaitu Dylan Sahara, 25 ketika tsunami melanda Selat Sunda Sabtu lalu terjawab apabila dia disahkan meninggal dunia.

Ifan atau Riefian Fajarsyah, 35, mengesahkan perkara itu menerusi Instagram miliknya kira-kira jam 9 malam (waktu Malaysia) tadi.

Dylan yang juga seorang pelakon dan pengacara hilang selepas pentas persembahan kumpulan Seventeen di Tanjung Lesung Beach Resort dipukul gelombang tsunami.

Memetik laporan Kompas.com, jenazah Dylan ditemui di Hospital Pandeglang selepas dikenal pasti kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan) dan disemadikan di kampung halamannya di Ponorogo, Jawa Timur.

Beberapa jam lalu, Ifan turut berkongsi luahannya melalui Instagram (IG) miliknya.

"Isteriku memang bukan manusia yang sempurna, begitupun aku. Tapi dia juga tidak pernah berhenti terus menjadi isteri yang baik. Saya tahu kamu telah mencuba yang terbaik dan itu tidak mudah bagi kamu, tetapi kamu melakukannya sayang.

"Dan buatku memang dia adalah isteri yang terbaik (yang) mungkin diberikan ALLAH buatku, aku tidak boleh meminta lebih banyak ya ALLAH.

"Mewakili isteriku aku memohon maaf sebesar-besarnya kepada teman, sahabat, keluarga, saudara atau siapapun yang pernah mengenal Dylan. Mohon diikhlaskan jikalau ada kata atau perbuatan yang tidak menyenangkan," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ALLAH yang mempertemukan mereka dan ALLAH juga yang memisahkannya.

"Doakan suamimu agar menjadi suami yang soleh, biar aku boleh menuntut hak ku buat berpasangan denganmu di akhirat nanti untuk selamanya. Cuma ALLAH yang tahu seberapa besar apa yang aku rasakan, saya sayang kamu @dylan_sahara," tulis lagi.

Rata-rata peminat turut berasa sedih dan turut mengharapkan penyanyi itu terus tabah dan reda dengan kehilangan isteri tersayang.

"Sabar,ikhlas dan terus doakan.... Turut berduka cita, harus kuat hadapi semua ini, ALLAH pasti tahu apa yang terbaik," tulis artikadinar.

"InsyaAllah surga tempat terbaik buat isterimu abang," tulis sepatumalang.

"ALLAH Maha Pengampun atas segala dosa, ketika seorang isteri meninggalkan dunia ini kemudian suaminya ikhlas melepas kepergiannya maka ALLAH langsung memasukkan isterinya ke jannahNya. Amin. Begitu yang pernah Saya dengar dari seorang Ustaz. InsyaAllah @dylan_sahara husnul khatimah di iringi doa dari sang suami @ifanseventeen yang ikhlas melepasnya. Saya sekeluarga turut mengucapkan takziah untuk semuanya... Doakan terbaik dari kami," tulis nurlaila3192.

"Semoga tenang disisi ALLAH ya kakak Dylan, abang Ifan semoga diberikan ketabahan dan kesabaran sama ALLAH," tulis wulan_darrii.

"Terus tabah. Semoga ALLAH tempatkan isteri kamu di kalangan orang beriman," tulis elysha94