Maut dipukul lepas insiden ejek-mengejek

No Image Caption
A
A
A

PUCHONG - Bermula saling ejek-mengejek, seorang lelaki warga Sierra Leone akhirnya maut dipukul lima rakan senegaranya berhampiran sebuah hotel bajet di Bandar Puteri di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, mangsa dikatakan dipukul hingga mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, rakan mangsa berusia 20 tahun memberitahu sebelum kejadian berlaku salah faham antara suspek dan rakannya yang maut.

Menurutnya, mangsa berusia 31 tahun yang dipukul menggunakan tangan dan kaki dan rebah di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bandar Puteri namun disahkan meninggal dunia.

“Punca sebenar kematian mangsa akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan pada jam 2.30 petang ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi tidak menemui kesan darah atau sebarang objek.

Katanya, polis memberkas seorang daripada suspek dipercayai terlibat dengan kes itu di tepi Jalan Bukit Puchong dalam tempoh dua jam selepas laporan mengenai kejadian diterima.

Artikel Berkaitan:

“Polis kini memburu rakan suspek yang turut terlibat dengan kes itu. Suspek yang ditahan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Selasa depan.

“Dokumen mangsa masih dalam semakan Jabatan Imigresen (JIM) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.