'Ibu boleh terus doakan abang dan Kak Syuhadah di Makkah nanti'

Zakaria (kiri) dan isteri, Halimah (tiga dari kiri) bergambar bersama anak mereka, Nur Liyana (dua dari kiri) dan menantu, Anwar Ahmad, 28, (kanan) sebelum masuk ke balai pelepasan jemaah haji di Masjid KLIA untuk bertolak ke Tanah Suci, sebentar tadi.

A
A
A

SHAH ALAM - "Ibu boleh terus doakan abang dan Kak Syuhadah di Makkah nanti."

Itu antara kata-kata menyentuh hati diungkap Halimah Mohd Isa, 60, ibu kepada Muhammad Hamadi Zakaria, 31, yang maut bersama isterinya, Nur Syuhadah Zaini, 31, dalam nahas ngeri di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan semalam.

Menurut adik Hamadi, Nur Liyana Zakaria, 27, ibunya mengungkapkan kata-kata itu sebagai penguat semangat selepas diuji kehilangan anak sulung dan menantu sehari sebelum terbang ke Tanah Suci menunaikan haji.

Nur Liyana ketika dihubungi Sinar Harian hari ini memberitahu, bapanya, Zakaria Tajuddin, 61, serta ibunya, Halimah, 60 masih dalam keadaan terkejut dan cuba untuk menghadapi kenyataan anak sulung mereka sudah tiada.

"Ibu dan ayah dah reda, cuma sekarang mahu tenangkan diri sebelum berlepas ke Tanah Suci menunaikan haji hari ini," kata Nur Liyana, 27.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat elak, suami isteri maut kemalangan

Jenazah suami isteri nahas motosikal selamat dikebumikan

"Cuma ibu ada kata, apa yang berlaku ada hikmahnya. Ibu boleh terus doakan abang dan Kak Syuhadah di Makkah nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua ibu dan bapanya dijangka berlepas ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4 petang ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Dalam pada itu, cerita Nur Liyana, ayah juga antara yang paling terkesan dengan kejadian itu kerana orang pertama menerima khabar duka tersebut semalam.

"Ayah orang pertama yang dimaklumkan tentang kematian abang semalam, jadi sudah tentu dia yang paling terkesan. Tapi semalam, ayah kuatkan diri dan masih boleh pandu kereta bawa kami sekeluarga ke PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) untuk lihat jenazah abang dan Kak Syuhadah.

Jenazah Muhammad Hamadi Zakaria dan isteri, Nur Syuhadah Zaini yang maut dalam nahas membabitkan tiga motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini malam tadi.

"Selepas selesai semua semalam (pengebumian), ayah beritahu dia nak rehat dan tumpu pada ibadah haji. Dia tak mahu tengok gambar atau apa-apa yang boleh mengingatkan tentang arwah termasuk akhbar dan televisyen kerana tak mahu fikirannya terganggu," katanya.

Zakaria yang merupakan pesara kerajaan di Majlis Perbandaran Taiping (MPT) serta isteri dijangka pulang semula ke tanah air pada 1 September nanti.

Sementara itu, Nur Liyana memberitahu selepas kehilangan Muhammad Hamadi, dia kini sendirian.

"Kami dua beradik sahaja, arwah anak sulung dan kami memang rapat. Kali terakhir saya jumpa arwah abang dan kak Syuhadah Isnin lalu, mereka bawa saya jalan-jalan dan makan malam bersama tapi tak sangka itu yang terakhir," katanya.

Bekas guru itu berkata, tidak ada perkara pelik yang ditunjukkan arwah abang mahupun kakak iparnya, cuma sikap terlalu mengambil berat itu saja yang ketara.

"Mereka memang jenis ambil berat tapi kali ini, boleh rasa yang mereka cuba lakukan semua dengan bersungguh-sungguh untuk penuhi permintaan kami," katanya.

Dalam insiden semalam, pasangan suami isteri terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara dua lagi mangsa parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal.

Zakaria (depan) dan isteri, Halimah (kanan) menolak bagasi untuk masuk ke balai pelepasan jemaah haji di Masjid KLIA kira-kira jam 10 pagi tadi sebelum bertolak ke Tanah Suci petang ini.
Zakaria (depan) dan isteri, Halimah (kanan) menolak bagasi untuk masuk ke balai pelepasan jemaah haji di Masjid KLIA kira-kira jam 10 pagi tadi sebelum bertolak ke Tanah Suci petang ini.