Tak sempat elak, suami isteri maut kemalangan

Motosikal jenis Honda CBR500 dinaiki pasangan suami isteri remuk selepas melanggar pengadang jalan dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal pagi tadi.
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu pasangan suami isteri, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan Nur Syuhadah Zaini, 31, beralamat di Shah Alam meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, insiden di laluan motosikal berhampiran bangunan Sport Direct berlaku selepas motosikal dinaiki pasangan itu tidak sempat mengelak kemalangan di hadapannya.

"Siasatan awal mendapati motosikal jenis jenis Yamaha LC135 dan Suzuki Axelo ditunggang lelaki berusia 45 dan 51 tahun dipercayai bergesel dan terbabas di lokasi kemalangan.

"Pasangan itu yang menaiki Honda CBR500 datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar penunggang berusia 51 tahun yang berada di tengah jalan.

"Akibat pelanggaran itu, motosikal berkelajuan tinggi mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar bahagian kiri pengadang jalan," katanya.

Katanya, dua penunggang yang parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

"Siasatan masih berjalan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi awam telah dikesan di lokasi kemalangan untuk membantu siasatan," katanya.