Jenazah suami isteri nahas motosikal selamat dikebumikan

Susana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini ketika talkin dibacakan.
A
A

SHAH ALAM - Jenazah pasangan suami isteri maut dalam nahas membabitkan tiga motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur pagi tadi selamat dikebumikan sebentar tadi.

Jenazah Muhammad Hamadi Zakaria dan Nur Syuhadah Zaini masing-masing berusia 31 tahun dikebumikan secara bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini kira-kira jam 10.22 malam.

Sebelum itu, jenazah dimandi dan dikafankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dibawa ke Madrasah Seksyen 11 untuk disembahyangkan.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada keluarga dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir.

Pasangan suami isteri itu meninggalkan dua puteri, Hana Safiyyah, 6, dan Hani Safina, 2.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak dua motosikal yang terlibat kemalangan dihadapannya.

Mangsa maut di lokasi kejadian sementara dua lagi penunggang cedera parah susulan kemalangan di laluan motosikal itu.

Sementara itu pengasuh kepada anak pasang suami isteri itu, Norizan May Doaa, 56, berkata mereka menghantar kedua-dua anak mereka kira-kira jam 8 pagi tadi.

"Saya menjaga kedua-dua anak mereka sejak empat tahun lalu ketika anak sulong mereka berusia setahun.

"Mereka berdua juga telah tinggal berdekatan dengan rumah saya di Seksyen 19 Shah Alam sejak mula tinggal di sini," katanya.

Jelasnya, mereka berdua kelihatan selalu tergesa-gesa ketika menghantar anak mereka ke rumahnya.

"Difahamkan Nur Syuhadah kerja di Kuala Lumpur manakala Muhammad Hamadi di Cyberjaya," katanya.

Tambahnya, dia tidak mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa pasangan itu sehingga adik lelaki Nur Syuhadah datang mengambil anak-anak allahyarham.

"Adik dia datang sekitar jam 10 pagi tadi mengambil dua beradik itu. Saya sempat bertanya mengapa dan dia maklumkan suami isteri itu terlibat dalam kemalangan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat elak, suami isteri maut kemalangan