'Tiada siapa yang kebal di Malaysia'

Mohamed Hanipa (dua dari kiri) bersama Tengku Maimun (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan replika kunci sempena Majlis Penyerahan Projek Mahkamah Kota Bharu Kelantan hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor petang kelmarin membuktikan tiada sesiapa yang kebal di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, SPRM menjalankan tanggungjawab mereka dan menahan tanpa mengira sesiapa pun sekiranya terbabit dalam salah laku jenayah rasuah.

“Tidak ada orang yang kebal di Malaysia. Sesiapa sahaja yang terbabit dengan jenayah, dia boleh ditahan dan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Penahanan akan dilakukan tanpa mengira sesiapa atau apa pun kedudukan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun Tuan Mat; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Dr Meor Abdul Aziz Osman.

Sinar Harian hari ini melaporkan seorang Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu ditahan SPRM semalam.

Penahanan hakim terbabit bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membebaskan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sepatutnya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen.

Kes susulan daripada penahanan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya serta beberapa anggota polis baru-baru ini.

Mohamed Hanipa berkata, pihak kerajaan juga tidak mencampuri urusan SPRM dalam kes tersebut dan setiap agensi adalah berperanan melaksanakan tugas masing-masing secara telus.

“Serah kepada SPRM untuk siasatan dan kalau benar atau ada bukti kukuh akan bawa ke Peguam Negara serta Peguam Negara yang akan melaksanakan tindakan seterusnya mengikut prosedur yang betul.

“Kami tidak kacau siasatan dan kerja-kerja agensi lain mahkamah, polis pun tak kacau kerana kami hendak mereka berfungsi menjalankan tugas mereka masing-masing,” katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berkata Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Tunjong di sini sudah mula beroperasi selepas siap dibina pada 15 Mei lalu dengan peruntukan RM106.42 juta.

Katanya, tarikh itu adalah lebih awal setahun daripada jangkaan siap pada April 2020 sehingga memberi penjimatan kos sebanyak RM3 juta.

“Kompleks mahkamah setinggi empat tingkat tersebut dilengkapi sistem teknologi maklumat terkini, internet jalur lebar berkelajuan tinggi dengan 13 bilik bicara iaitu tiga mahkamah tinggi, lima mahkamah sesyen dan lima mahkamah majistret.

“Kejayaan pembinaan bangunan ikonik yang megah ini adalah projek pembangunan Kerajaan Persekutuan yang terbaik dan efisien serta akan menjadi mercu tanda kedaulatan undang-undang di negara ini,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia