Pas tolak dasar PPSMI

Ahmad Fakhruddin
Ahmad Fakhruddin
A
A
A

ALOR SETAR - Pas menolak dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang disifatkan bertentangan dengan dasar bahasa kebangsaan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan.

Timbalan Pengerusi II Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, pihaknya bimbang berlaku penurunan tahap penguasaan Matematik dan Sains dalam kalangan pelajar, selain menyebabkan hilang minat belajar serta wujud jurang besar antara pelajar bandar dan luar bandar.

Menurutnya, pengenalan semula dasar PPSMI itu membuktikan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan produk baharu dalam bidang pendidikan.

“Isu ini menimbulkan perdebatan kalangan ilmuwan bahasa, sebilangan besar pendidik dan pejuang bahasa yang cintakan bahasa ibunda. Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gunakan terma ‘sistem baharu teknologi maklumat’, namun kita tak dapat bendung kegusaran kesan langsung ke atas pelajar,” katanya.

Ahmad Fakhruddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah berkata, walaupun Pas menolak dasar berkenaan sejak awal, tidak bermaksud Pas mengenepikan pembelajaran Bahasa Inggeris.

“Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana mewujudkan suasana minat belajar serta penggunaan kaedah bersesuaian bagi menerapkan kefahaman mendalam dalam dua subjek itu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan PH tidak harus mengulangi kesilapan dengan mengembalikan dasar PPSMI yang dimansuhkan pada 2012, sebaliknya harus memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

“Ia dapat dilaksana dengan mewujudkan sekretariat penterjemahan bahasa atau perkataan dalam Sains dan Matematik di peringkat nasional bagi melancarkan proses penterjemahan, selain mengumpul pakar bahasa setiap bidang seperti Sains Kejuruteraan, Kesihatan, Biologi dan Fizik bagi mendapatkan terjemahan yang tepat dengan penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan juga disaran memperkukuhkan keilmuan bahasa dalam kalangan guru berkaitan selain diberikan pendedahan teknik pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik secara holistik.

“Minat mempelajari dua subjek itu juga wajar dipupuk dalam kalangan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dalam mahupun luar kelas,” katanya.

Ahmad Fakhruddin menegaskan, pengenalan semula dasar PPSMI itu sebenarnya menggambarkan kegagalan PH dalam menambah baik kualiti pendidikan negara.

ARTIKEL BERKAITAN Pelaksanaan semula PPSMI sedang dikaji - PM