Penyokong Perak teruja jadi orang pertama dapat tiket final

Dari kanan, Fazli, Ahmad Iqbal dan Zaqirin bersama tiket masing-masing.
Dari kanan, Fazli, Ahmad Iqbal dan Zaqirin bersama tiket masing-masing.
A
A
A

"BERBALOI rasanya tunggu dari jam 12 tengah malam tadi," demikian reaksi gembira penyokong Perak, Fazli Yahya, 32, setelah menjadi individu pertama memperolehi tiket final Shopee Piala FA 2019 sempena pembukaan kaunter jualan tiket di Stadium Perak hari ini.

Menurut Fazli, dia sendiri tidak menyangka untuk mendapat tiket berkenaan dengan cepat kerana sebelum ini terpaksa berebut dan menjadi menjadi antara individu terakhir membeli tiket.

Oleh itu katanya, tindakannya menunggu di kaunter tiket stadium sejak malam tadi adalah tindakan sangat tepat.

"Ini kali pertama saya dapat tiket final, jadi orang pertama pulak tu, kebebetulan saya memang bercuti hari ini.

"Insya-ALLAH, dah ada tiket ni, saya merancang untuk menonton perlawanan akhir Piala FA kali ini bersama isteri saya.

"Saya ramalkan Perak menang 3-1 dan gol-gol Perak dijaringkan oleh Shahrul Mohd Isa," katanya kepada Sinar Harian.

Selain Stadium Perak, kaunter jualan tiket akan dibuka di Gerik, Kuala Kangsar, Parit Buntar, Manjung, Tapah, Bagan Datuk, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Teluk Intan.

Seorang lagi penyokong, Ahmad Iqbal Abd Aziz, 21, teruja setelah turut menjadi individu terawal mendapat tiket berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penantiannya bersama rakan-rakan lain yang berkumpul di hadapan kaunter tiket stadium sejak malam tadi berbaloi.

"Memang gembira sangat sebab saya dah tunggu sejak tengah malam tadi dan hari ini saya berjaya jadi orang terawal dapat tiket.

"Untuk final ini, saya ramalkan Perak menang 2-0 hasil jaringan Brendan Gan dan pemain import, Careca," katanya.

Sementara itu bagi Zaqirin Mohamad, 21, keletihan menanti sejak jam tiga pagi tadi seakan hilang setelah berjaya mendapat tiker yang diidam-idamkan.

Katanya, dia datang ke stadium awal pagi kerana bimbang tiket-tiket berkenaan habis dijual.

"Seronok dan puas hati bila dapat tiket. Saya tak kisah pun datang pagi-pagi asalkan dapat tiket.

"Harapan saya memang nak Perak menanglah, berapa gol pun tak kisah, asalkan menang," katanya.