JPN nafi tuduhan warga asing mohon kewarganegaraan

JPN menafikan tuduhan yang telah tular di media sosial hari ini.
JPN menafikan tuduhan yang telah tular di media sosial hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan di media sosial mengatakan jabatan itu diserbu sekumpulan orang asing untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim berkata, laporan polis berkaitan isu yang tular di media sosial itu telah dibuat supaya satu siasatan boleh dijalankan kerana tuduhan tersebut boleh menggugat ketenteraman awam dan merosakkan keharmonian kaum.

"Tuduhan yang dibuat sama sekali tidak benar dan boleh merosakkan imej dan reputasi JPN.

"JPN memandang serius perkara ini berikutan ia sering ditularkan sejak akhir-akhir ini oleh pihak tidak bertanggungjawab dan akan menyebabkan kekeliruan kepada orang awam," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Jasri berkata, gambar-gambar yang menjadi tular di media sosial itu adalah gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai lalu.

Jasri (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di IPD Putrajaya, hari ini.
Jasri (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di IPD Putrajaya, hari ini.

Katanya, kehadiran kumpulan itu merupakan inisiatif Unit MySel, Kerajaan Selangor untuk membantu orang awam dari Pulau Ketam, Selangor yang mempunyai urusan berkaitan pendaftaran, termasuk permohonan MyKad dan kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

"JPN dimaklumkan pelanggan-pelanggan tersebut terdiri daripada warga emas dan juga yang mempunyai kesukaran untuk hadir sendiri ke Pejabat JPN untuk urusan pendaftaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, JPN tegas bahawa permohonan kewarganegaraan Malaysia yang diterima oleh pihaknya ini bukan tertumpu kepada satu kaum sahaja, malah menerima permohonan daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia.

"Saya minta penyebaran ini dihentikan serta-merta kerana ia mencemarkan nama JPN.

"Perkara ini juga akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan seterusnya," katanya.