Perjanjian perdagangan Malaysia-AS masih tertangguh, perlu lalui proses ratifikasi

Anwar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
Anwar ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) masih belum berkuat kuasa kerana perlu melalui proses ratifikasi selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menteri Kewangan itu berkata, sehingga kini pihak AS masih belum mengemukakan sebarang cadangan berkaitan tarif untuk dipertimbangkan dalam proses berkenaan, menyebabkan perjanjian tersebut masih tertangguh.

Ujar beliau, kerajaan juga sedang memantau perkembangan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung AS berhubung tarif yang dikenakan Presiden, Donald Trump.

"Kita tahu bahawa Presiden AS mungkin menggunakan Seksyen 122 Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa Amerika Syarikat (IEEPA).

“Kemudian, apakah Kongres AS akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung atau berbeza pendapat, itu pun masih belum dipastikan.

“Jadi, Perintah Eksekutif tentang tarif global baru ini, bagi saya, harus dipantau dari dekat dan melihat dari segi kepentingan ekonomi Malaysia,” katanya ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai pendirian rasmi kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang diperkenalkan oleh Trump sebagai tidak sah dan apakah implikasinya terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.

Menurut Anwar, dari sudut perdagangan, kedudukan negara kekal seperti sedia ada memandangkan tindakan tarif yang dikenakan tidak melibatkan syarikat tempatan.

“Apa (tarif) yang dikenakan sebelumnya itu tidak kepada syarikat Malaysia. Syarikat Amerika yang melabur, jadi yang dikenakan itu melibatkan syarikat mereka.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, seperti mana saya tegaskan, kita hanya memantau dan tidak mahu dalam keadaan sekarang mengambil keputusan yang gopoh yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita,” ujarnya.

Kata beliau, kerajaan tidak boleh terlalu tergesa-gesa menangani isu tersebut memandangkan nilai eksport Malaysia ke AS mencecah RM233.1 bilion.

“Kita tidak mahu dalam keadaan sekarang ambil keputusan yang gopoh, yang mungkin menjejaskan kepentingan perdagangan kita.

“Ia kerana eksport Malaysia ke AS adalah RM233.1 bilion, ini terlalu tinggi. Manakala, perdagangan dua hala Malaysia dan AS itu berjumlah RM367.5 bilion,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara Malaysia dan Amerika Syarikat belum berkuat kuasa
  • Perlu melalui proses ratifikasi selaras dengan peruntukan undang-undang
  • Amerika Syarikat belum mengemukakan cadangan berkaitan tarif
  • Perjanjian tersebut masih tertangguh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!