Dua lelaki lepas bebas tuduhan bunuh peminjam wang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahakamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan dua lelaki yang pernah dituduh membunuh seorang pemilik syarikat peminjam wang dalam satu kejadian di lampu isyarat bersebelahan pusat beli-belah Setapak Sentral, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak melepas dan membebaskan D Manivannan, 46 dan K Ramkumar, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Mohd Sofian berkata, keterangan oleh saksi ketiga tidak membantu pendakwa kerana tidak dapat mengecam suspek.

“Keterangan oleh seorang saksi yang dikenali sebagai Hisyam hanya mengecam tertuduh berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang ditunjukkan kepadanya ketika siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat.

"Hisyam tidak berada di tempat kejadian malahan dia hanya merupakan seorang pekerja di sebuah restoran yang terletak berhampiran tempat berkenaan,” katanya.

Mohd Sofian berkata, keterangan pihak pendakwaan amat lemah untuk mengaitkan kedua-dua tertuduh sebagai penembak dalam kejadian itu.

“Oleh demikian, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh melakukan tembakan pada hari tersebut dan sehingga menyebabkan kecederaan dan seterusnya membawa maut kepada si mati," katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa membunuh V Kandasamy, 44, di Jalan Taman Ibu Kota Setapak, Wangsa Maju di sini jam 3.55 petang 27 Julai 2016.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asyikin Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 23 Januari 2018, pihak pendakwaan telah memanggil seramai sembilan saksi.

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki membonceng motosikal dan memakai topi keledar bertutup penuh melepaskan 16 das tembakan ke arah Kandasamy Vathu atau Kanna, 43, ketika kereta dipandunya berhenti di lampu isyarat berhampiran pusat beli-belah Setapak Mall.

Sebanyak 10 daripada tembakan itu mengenai kepala, badan dan paha mangsa, menyebabkannya maut di tempat kejadian.