Kewujudan minyak diesel dalam sungai mungkin akibat sabotaj

Noor Azam pada sidang media di Loji Pembersihan Air Selangor Bestari Jaya hari ini.
Noor Azam pada sidang media di Loji Pembersihan Air Selangor Bestari Jaya hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kewujudan minyak diesel yang mencemarkan sumber air mentah Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat loji rawatan air di negeri ini ditutup semalam dipercayai akibat perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.30 malam tadi di Balai Polis Bestari Jaya yang dibuat pekerja sebuah syarikat pengepam pasir.

Menurutnya, pekerja terbabit memaklumkan terdapat dua hingga tiga individu memancing ikan di atas pontun pam pasir itu tiga hari lepas.

"Berdasarkan keterangan pengadu (pekerja syarikat pam pasir), pemancing berkenaan ditegur agar tidak berada di atas pontun itu namun enggan beredar kerana sedang asyik memancing.

"Namun selepas diarahkan juga untuk beredar, berkemungkinan besar mereka telah melakukan perbuatan sabotaj.

"Siasatan polis mendapati ada dua tong minyak di atas pontun terbabit dan klip saluran keluar salah satu tong itu telah dicabut," katanya kepada media di Loji Pembersihan Air Selangor Bestari Jaya, hari ini.

Noor Azam berkata, setiap tong tersebut berkapasiti 200 liter minyak diesel dan separuh daripada satu tong itu didapati terkeluar memasuki sungai.

Menurutnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan dengan kerjasama agensi lain termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Artikel Berkaitan:

"Kita akan menyiasat lebih lanjut secara terperinci sama ada disebabkan oleh perbuatan sabotaj atau disebabkan kecuaian.

"Pontun pam pasir ini di kawasan terbuka di permukaan sungai dan difahamkan sudah dua bulan tidak beroperasi namun ada pekerja yang menjaga.

"Setakat ini, kita hanya mengetahui pemancing berkenaan menunggang motosikal," katanya.

Noor Azam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu pengkhianatan dengan cara merosakkan kerja-kerja pengairan atau secara salah menyimpang aliran sungai.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara lima hingga 30 tahun atau kedua-duanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran air disyaki tindakan sabotaj: Xavier]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran air: SPAN buat laporan polis]