Pencemaran air: SPAN buat laporan polis

Charles Santiago - Foto Parlimen Malaysia
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat laporan polis hari ini susulan insiden pencemaran yang berlaku di muka sauk melibat empat Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, dua insiden yang berlaku dalam tempoh tiga hari sebelum ini dilihat amat membimbangkan dan pihaknya berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyiasat sebarang elemen sabotaj dalam kedua insiden yang berlaku tersebut.

Beliau berkata, SPAN akan menggunakan peruntukan akta sedia ada untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang terlibat dalam insiden pencemaran tersebut.

"Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 121(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655) untuk mencemarkan atau menyebabkan supaya dicemarkan mana-mana alur air atau sistem bekalan air atau mana-mana bahagian alur air atau sistem bekalan air itu dengan apa-apa bahan, yang berkemungkinan akan membahayakan nyawa mana-mana orang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang dihenti tugas berikutan daripada berlakunya pencemaran bau di muka sauk.

Walaupun kerja-kerja pemulihan LRA terlibat mencapai tahap 97 peratus, keempat-empat loji berkenaan terpaksa dihenti tugas sekali lagi semalam ekoran daripada pencemaran diesel akibat aktiviti kerja-kerja pengorekan pasir.

Mengulas lanjut, Charles berkata, SPAN berharap agar Kerajaan Selangor dapat menamatkan konsesi mana-mana kontraktor pasir yang didapati terlibat dalam insiden pencemaran tersebut.

"Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam insiden ini.

"Bagi mengelakkan insiden pencemaran berulang, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan perlu mempertimbangkan pemberhentian segala aktiviti ekonomi di sekitar kawasan sungai, terutamanya bahagian hulu sungai yang merupakan sumber air bagi aktiviti harian pengguna," katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuang sampah terbuka bagi menggelakkan sebarang pencemaran terhadap sumber utama berkenaan.