Wan Ji dakwa kekecohan di masjid dilakukan oleh ahli Pas dan UMNO

Wan Ji Wan Hussin
A
A

SHAH ALAM - Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin mendakwa kekecohan di Masjid Ar Rahman, Kampung Parit Melana, Durian Tunggal malam semalam dilakukan individu dari luar kawasan kariah yang merupakan ahli Pas dan UMNO.

Katanya, ini kerana beliau melihat sendiri sebahagian daripada individu yang hadir membuat kecoh itu memakai pakaian berlogo Pas dan UMNO.

“Mereka yang buat kacau itu sebenarnya ahli Pas yang mendapat seruan berdasarkan surat rasmi dikeluarkan Pas Melaka supaya ahli-ahli Pas di peringkat negeri itu datang ke masjid membuat demonstrasi.

“Lepas itu saya nampak ada orang pakai baju UMNO. Mereka ini bukan orang tempatan dan mereka buat kacau di situ untuk mengganggu kuliah yang saya sampaikan selepas solat maghrib,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun kuliah yang disampaikannya bertajuk, ‘Islam sebagai agama penyelamat kepada umat’ tetap diteruskan selepas mendapat bantuan daripada polis.

Wan Ji menjelaskan, majlis ilmu berkenaan telah dirancang lama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab dengan kerjasama kariah masjid dan mendapat keizinan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

“Lepas setengah jam kekecohan, polis minta mereka beredar sebab menceroboh dan membuat gangguan dalam masjid. Apabila polis suruh beredar, mereka berganjak dan barulah pihak jawatankuasa masjid minta saya mulakan kuliah.

“Selepas kuliah habis, mereka tiada lagi di kawasan masjid. Mereka hanya melakukan provokasi awal,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis ilmu dihadiri Wan Ji bertukar kecoh

Dalam pada itu Wan Ji berkata, kekecohan yang berlaku bukan faktor masyarakat setempat tetapi isu berbangkit melibatkan dirinya dengan Pas.

“Pertama apabila saya nyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Ketua Dewan Ulamak mereka dalam isu fatwa wajib menjatuhkan kerajaan PH. Kedua, mereka tidak puas hati apabila saya bangkitkan hadis yang dikemukakan Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) berkaitan larangan untuk mengisytiharkan harta, adalah hadis palsu.

“Jadi dua perkara itu Ulamak Pas tidak boleh jawab. Sejak daripada itu, serangan terhadap saya daripada ahli-ahli Pas tertentu agak kuat,” katanya.

Dalam kejadian jam 7.50 malam semalam itu, Mohd Sofi yang sedang berucap selepas menunaikan solat Maghrib memaklumkan penganjuran ceramah tersebut mendapat kebenaran polis.

Tindakan pihak tertentu di luar kawalan menyebabkan Mohd Sofi terpaksa memberhentikan ucapannya dan meminta bantuan polis yang telah berkawal di masjid sejak petang.

Perang mulut dan tolak-menolak berlaku sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Aziz bersuara dan tidak membenarkan sebarang kekecohan di dalam masjid dan memberi tempoh kira-kira lima minit untuk kumpulan berkenaan bersurai.

Selepas keadaan kembali tenang, Wan Ji kemudian memulakan kuliahnya pada jam 8.40 malam sebelum berakhir jam 9.15 malam.

Nama Wan Ji kembali hangat diperkatakan selepas beliau dihukum penjara setahun bermula 9 Julai lalu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Setelah dua hari menjalani hukuman penjara, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman penjara berkenaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia