Majlis ilmu dihadiri Wan Ji bertukar kecoh

Wan Ji Wan Hussin
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMASKINI] Majlis ilmu dihadiri pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin di Masjid Ar Rahman, Kampung Parit Melana, Durian Tunggal di sini bertukar kecoh malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 malam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab yang sedang berucap selepas menunaikan solat Maghrib memaklumkan penganjuran ceramah tersebut telah pun mendapat kebenaran polis sebelum terdapat pihak yang mencetuskan provokasi.

Tindakan pihak tertentu di luar kawalan menyebabkan Mohd Sofi terpaksa memberhentikan ucapannya dan meminta bantuan pihak polis yang telah berkawal di masjid sejak petang tadi.

Keadaan yang sedikit tegang termasuk berlaku 'perang mulut' dan tolak-menolak menyebabkan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Aziz bersuara dan tidak membenarkan sebarang kekecohan di dalam masjid dan memberi tempoh kira-kira lima minit untuk kumpulan berkenaan bersurai.

"Jika membuat protes dalam masjid saya tidak benarkan dan kalau menghalang tugas penjawat awam kita akan mengambil tindakan," katanya.

Selepas keadaan kembali tenang, Wan Ji kemudian memulakan ceramahnya jam 8.40 malam sebelum ia berakhir jam 9.15 malam.

Sementara itu, A Asmadi yang dihubungi berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia