[DIKEMASKINI] MAHB selesai latihan Ancaman Keganasan menjelang 2022

Raja Azmi Raja Nazuddin
Raja Azmi Raja Nazuddin
A
A
A

SUBANG - [DIKEMASKINI] Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan latihan Ancaman Keganasan di semua lapangan terbang tempatan dalam pengurusannya menjelang 2022, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Beliau berkata, matlamat latihan itu adalah untuk menguji dan menilai kesediaan agensi-agensi lapangan terbang dalam menangani sebarang situasi kecemasan dan ancaman keganasan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) serta pelan kecemasan dan kontingensi.

"Setakat ini kami menyelesaikan latihan di lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan dan KLIA2, manakala tahun ini kami menyasarkan Subang dan Langkawi.

"Ini adalah inisiatif berterusan, kami akan akan melakukannya secara giliran setiap tahun. Dengan melaksanakan latihan itu secara giliran dengan lebih kerap, kami akhirnya akan dapat meliputi semua atau sebahagian besar lapangan terbang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Akta Pencerobohan di sini hari ini.

Raja Azmi berkata latihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) serta Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Malaysia Airports.

Ia juga melibatkan 35 agensi kerajaan, badan berkanun dan sektor swasta yang lain, katanya.

MAHB kini mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia yang terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 landasan pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOL). - Bernama

Artikel Berkaitan: