Tambah baik kutipan sampah: E-Idaman

Mohd Saiful
Mohd Saiful
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat pengendali pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) akan menambahbaik perkhidmatan kutipan sampah dalam kawasan perkhidmatannya mulai Januari tahun depan, khususnya di Kedah dan Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Saiful Anuar Zainal berkata, penambahbaikan itu akan dijalankan dengan perubahan jadual kutipan barangan kitar semula dan sisa kebun serta sampah pukal.

"Bagi jadual kutipan barangan kitar semula kutipan akan dibuat pada minggu pertama dan minggu ketiga setiap bulan dengan menggunakan lori kitar semula.

"Manakala bagi kutipan sisa kebun serta sampah pukal akan dibuat pada minggu kedua dan keempat setiap bulan dengan menggunakan lori terbuka 'Roro'," katanya, menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Dengan itu, beliau yakin dengan penambahbaikan ini dijangka mampu melancarkan lagi kutipan sampah sisa kitar semula dan sisa kebun serta sampah pukal tanpa mengganggu jadual kutipan sisa domestik.

"Syarikat EISB sedang giat dalam mempromosikan program 'Recycle For Life (RFL).

"RFL adalah satu program yang memberikan ganjaran tunai secara 'cashless system' kepada masyarakat melalui aplikasi penggunaan kad pintar dan aplikasi mobil," katanya.

Menurutnya, menerusi program dan sistem RFL ini, setiap barangan kitar semula akan diberikan ganjaran nilai tunai berdasarkan harga pasaran semasa.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna boleh menggunakan kad pintar ini di pasar raya, restoran dan premis-premis yang menjadi rakan usahasama RFL," katanya.

Sebelum ini, Mohd Saiful berkata, pihak EISB menggunakan kaedah (2+1) bagi jadual kutipan iaitu dua kali kutipan bagi sisa domestik dan satu kali kutipan bagi sisa kebun dan barangan kitar semula, setiap minggu.