Dua sepupu tak mengaku salah rompak tauke bundle

Mohd Ariffadilan (dua,kiri) dan Muhamad Ezzaq Tasnim dikawal ketat polis ketika keluar dari mahkamah sesyen selepas dituduh, hari ini.
Mohd Ariffadilan (dua,kiri) dan Muhamad Ezzaq Tasnim dikawal ketat polis ketika keluar dari mahkamah sesyen selepas dituduh, hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua sepupu mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini hari ini atas dakwaan merompak seorang tauke pakaian terpakai atau bundle dengan melarikan pelbagai barangan bernilai RM26,100, Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Ariffadilan Ismail, 32, dan Muhamad Ezzaq Tasnim Roslan, 25, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dua yang masih bebas merompak Kamsani Abdul Manan, 37, dengan mengambil pelbagai barangan terpakai berjenama termasuk pakaian, kaca mata hitam dan kasut keseluruhannya bernilai RM26,100.

Ketika rompakan itu, mereka menggunakan kelewang dan kejadian didakwa dilakukan di alamat Taman Seri Gading 3, Telaga Limau, Pasir Hor di sini pada jam 8.43 malam, 6 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala mereka tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula 20 Ogos depan dan tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan dalam kejadian itu, mangsa didatangi empat lelaki yang pada mulanya memberitahu mahu membeli barangan terpakai yang dijual.

Mangsa sempat melayan kesemua mereka sebagai tetamu dan turut menyediakan air minuman sebelum dirompak oleh kumpulan lelaki itu.