UMNO Tambun sedia lepas kerusi kepada Pas

Azizul Kama beramah mesra dengan sebahagian peserta program yang diadakan di Dewan Andersonians Club Ipoh, hari ini.
A
A

IPOH - UMNO Bahagian Tambun sedia melepaskan mana-mana kerusi mereka di kawasan Parlimen Tambun kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Timbalan Ketuanya, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz berkata, tindakan itu sebahagian langkah persefahaman kerjasama politik di antara UMNO dan Pas yang dirintis pemimpin tertinggi kedua-dua parti.

Menurutnya, walaupun sebarang keputusan mengenai pembahagian kerusi itu akan diputuskan pimpinan tertinggi kedua-dua parti, pihaknya tiada masalah tentang pembahagian kerusi.

"Kita kena belajar daripada kesilapan PRU14 apabila UMNO dan Pas bertembung, kita kalah. Andai kata kita bersama pada PRU14, tak kalah Parlimen Tambun, tak kalah Dewan Undang Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta.

"Untuk pembahagian kerusi PRU15 ini, saya yakin pimpinan tertinggi sudah mengorak langkah. Mungkin formulanya kita tidak dedahkan tetapi saya yakin dalam konteks Parlimen Tambun ini ada kerusi yang akan diberikan kepada Pas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Membantu Wanita Muda-Private Class Make Up Party di Dewan Andersonians Club Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Puteri UMNO Bahagian Tambun, Irmalini Amir Hamzah.

Azizul Kama berkata, UMNO dan Pas perlu menang bersama pada PRU akan datang kerana mereka merupakan parti terbesar bagi orang Melayu dan Islam di negara ini.

Sementara itu menyentuh mengenai perkembangan UMNO Bahagian Tambun, beliau berkata, segala perancangan telah diatur selepas isu-isu berkaitan pentadbiran diselesaikan pada mesyuarat perwakilan baru-baru ini.

Katanya, hubungan bersama parti komponen masih dijalinkan seperti biasa melalui mesyuarat dan aktiviti parti.

"Kita juga dapat lihat sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri aktif mengadakan pelbagai program masing-masing mengikut kemampuan kita sebagai pembangkang.

"Saya bersetuju dengan saranan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya kita menjadi pembangkang yang berwibawa," katanya.

Beliau berkata, UMNO Tambun perlu berdiri teguh untuk terus menjadi dominan tanpa terlalu bergantung kepada kekuatan Pas Kawasan Tambun melalui perpaduan ummah semata-mata.

Katanya, UMNO harus menjadi parti yang dinanti-nantikan oleh rakyat kerana sudah mempunyai kekuatan tersendiri memandangkan mereka telah lama menjadi parti pembangkang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia