JBPM guna helikopter selamatkan wanita jatuh bukit

Pasukan perubatan memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum operasi membawa turun akan dilaksanakan menggunakan khidmat bantuan helikopter.
A
A

AMPANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor terpaksa menggunakan khidmat bantuan helikopter bagi membawa turun seorang wanita yang terjatuh di Bukit Batu Condong, Kemensah pagi tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 9.12 pagi tadi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke lokasi dan tiba 17 minit kemudian di laluan masuk untuk mendaki ke bukit tersebut.

“Maklumat awal diterima memaklumkan mangsa berusia 31 tahun cedera parah dan kritikal selepas terjatuh dari kawasan berbatu di bukit tersebut.

“Operasi menyelamat sedang dilakukan, JBPM telah mohon bantuan khidmat helikopter untuk membawa mangsa keluar dari lokasi itu,” katanya.

Beliau berkata, bantuan tersebut terpaksa dipohon berikutan mangsa bertubuh gempal dan jarak untuk turun dari bukit hampir 4km.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Syarfalili Saharir hanya boleh dihubungi menerusi telefon ketika ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia