'Lebih ramai anggota polis ditahan jika masih amal rasuah'

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

SHAH ALAM - Tahun ini dijangkakan lebih ramai anggota dan pegawai polis ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk kes rasuah jika mereka tidak segera insaf.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, sudah banyak kali beliau menasihat dan memberi amaran kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjayakan misi menghapuskan budaya rasuah, namun ramai masih berdegil.

"Saya tidak akan berkompromi dalam kes-kes sebegini dan akan memastikan mereka menerima hukuman yang setimpal," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Abdul Hamid berkata, selaku ketua dalam PDRM, perasaan sedih tidak dapat dielakkan apabila diberitahu semakin ramai anak buahnya ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya juga dimaklumkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut menahan polis atas pelbagai kes rasuah, peras ugut dan dadah.

"Namun apa yang berlaku (tangkapan ke atas polis) saya hargai usaha pihak berkenaan yang telah bertindak tegas," katanya.

Antara kes rasuah melibatkan polis tahun ini:

14 Januari

Artikel Berkaitan:

JOHOR BAHRU - Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) di sini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tiga tahun lalu.

28 Mac

KUALA LUMPUR - Ketua Balai Polis Setapak merupakan antara lima penjawat awam yang dihadapkan ke tiga mahkamah sesyen di sini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung serbuan ke atas rumah urut dalam ‘Op Kota Raya’ tahun lalu.

29 Mac

SHAH ALAM - Inspektor polis dan anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap pertuduhan menerima rasuah, tiga tahun lalu.

9 April

KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan tiga individu termasuk dua anggota polis berpangkat sarjan dan lans koperal bagi membantu siasatan kes menerima suapan bernilai RM9,700.

12 April

BUTTERWORTH - Dua anggota polis mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang suapan RM1,000 daripada dua lelaki selepas seorang daripada mereka didapati memandu dengan lesen dan cukai jalan tamat tempoh, selain rakannya mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah.

25 Jun

MELAKA - Seorang inspektor polis bersama empat lans koperal dan koperal direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM6,000 membabitkan kes memiliki air ketum.

24 Jun

SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal direman lima hari di Mahkamah Khas Reman Seremban, hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM4,000.