Pas gesa bubar Parlimen segera

Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

KOTA BHARU - Pas mahu kerajaan Persekutuan mengambil langkah membubarkan Parlimen dengan segera supaya kepimpinan baharu dapat menstabilkan kembali negara.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu juga penting untuk masa depan lebih teratur dan bersistematik.

"Pembohongan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebabkan nilai duit kita jatuh dan pelabur hilang keyakinan.

"Suasana sudah tidak stabil, kita tidak ada pilihan jadi tidak perlu tunggu tiga tahun bubar Parlimen.

"Esok pun boleh, insya-ALLAH Pas dan UMNO bersedia bila-bila masa sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini semalam.

Menurutnya, banyak bukti yang diperlihatkan kepada rakyat kini, termasuklah perebutan kuasa melibatkan kepimpinan tertinggi parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Malah, katanya, apa yang berlaku antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengukuhkan lagi bahawa pergolakan antara pemimpin dalam PH satu masa nanti akan memberi kesan kepada penyokong itu sendiri.

“Pergolakan PH bukan sahaja melibatkan PKR tetapi termasuk ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar dan masuk semula UMNO.

"Ada juga parti komponen tidak stabil, termasuk juga isu nak isytihar siapa Perdana Menteri, kita nampak dalam keadaan rakyat susah ini masing-masing berebut nak jadi menteri. Jadi tidak beri fokus masa depan negara," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia