PRN Sarawak: 29 kerusi menang tanpa bertanding, saingan pelbagai penjuru menyusut ketara

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon, Dewan Masyarakat Gedong hari ini. - Foto: Bernama
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon, Dewan Masyarakat Gedong hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING - Landskap persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 memperlihatkan perubahan ketara apabila 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi tanpa bertanding pada hari penamaan calon hari ini, manakala 29 lagi menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Perkembangan itu sekali gus memperlihatkan penyusutan ketara pertandingan pelbagai penjuru yang mewarnai PRN Sarawak sebelum ini.

Analisis perbandingan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN ke-12 pada 2021 dan edisi kali ini menunjukkan peralihan pola persaingan daripada pertandingan empat hingga lapan penjuru kepada pertembungan satu lawan satu serta kemenangan tanpa bertanding.

Daripada 53 kerusi yang akan dipertandingkan pada 12 Dis ini, sebanyak 29 kerusi menyaksikan pertembungan satu lawan satu, meningkat ketara berbanding hanya empat kerusi pada 2021.

Pertandingan tiga penjuru pula meningkat sedikit daripada 13 kepada 15 kerusi, manakala saingan empat penjuru menyusut daripada 33 kepada hanya sembilan kerusi.

Tiada pertandingan lima, enam atau lapan penjuru direkodkan pada PRN kali ini berbanding masing-masing 24, tujuh dan satu kerusi pada edisi terdahulu.

Pada PRN 2021, kesemua 82 kerusi DUN dipertandingkan dengan penyertaan ramai calon daripada parti pembangkang tempatan serta calon Bebas.

Pada PRN kali ini, ketiadaan beberapa gabungan dan parti politik utama dari Semenanjung, antaranya Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Perikatan Nasional (PN), dilihat membuka ruang lebih luas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku gabungan pemerintah negeri.

Berdasarkan statistik awal SPR, seramai 2,058,781 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan.

Bagaimanapun, susulan kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi berkenaan, seramai 632,149 pemilih berdaftar di kawasan terbabit tidak perlu keluar mengundi, menjadikan jumlah pemilih bagi 53 kerusi yang dipertandingkan seramai 1,426,632 orang.

SPR menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal, manakala 12 Disember sebagai hari pengundian. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!