Inti pati perbicaraan Najib minggu ini

Datuk Seri Najib Razak - FOTO SINAR HARIAN:ZAHID IZZANI
Datuk Seri Najib Razak - FOTO SINAR HARIAN:ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Minggu ini, nama ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, disebut secara langsung buat kali pertama dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak, mengaitkan hubungannya dengan bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan itu turut menimbulkan persoalan dari mana datangnya wang RM42 juta dalam akaun Najib apabila saksi mendedahkan mereka tidak tahu bagaimana wang itu ada dalam akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd dan bagaimana Najib membelanjakan RM3.3 juta hanya dalam sehari di De Grisogono, butik barang kemas mewah Swiss, di Itali.

Berikut sebahagian daripada keterangan yang diberikan saksi minggu ini:

Hari ke-37 (15 Julai):

Naib presiden kanan Ambank bertanggungjawab dalam proses kebenaran kad kredit dan pengurusan penipuan Yeoh Eng Leong mendedahkan dua kad kredit kepunyaan Najib digunakan untuk berbelanja sejumlah RM3.3 juta dalam masa sehari, di De Grisogono, butik barang kemas mewah Swiss, di Itali, pada 8 Ogos, 2014.

Saksi ke-47 pendakwaan itu berkata RM456,360.51 dibelanjakan menggunakan kad kredit Visa Platinum manakala RM2,864,309.54 lagi menggunakan kad kredit Master Platinum.

Saksi itu juga berkata pada awal Januari 2015, sejumlah RM466,330.11 lagi dibelanjakan di Chanel, sebuah butik eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat, menggunakan kedua-dua kad itu dan kad berkenaan juga digunakan untuk membayar sejumlah RM127,017.46 di Shangri-La Hotel di ibu negara Thailand.

Semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, saksi itu berkata berdasarkan penyata kad kredit bertarikh April 2015, pembayaran terakhir dibuat oleh seorang individu bernama Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC).

Artikel Berkaitan:

Yeoh juga berkata kesemua bayaran dibuat melalui akaun semasa Ambank Najib yang berakhir dengan nombor 880, dan menegaskan bahawa Najib tidak mengambil sebarang tindakan berhubung penyata kad kredit itu.

Pengurus Unit Rentas Ambank di Wisma Amfisrt, Petaling Jaya, Wedani Senen, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan, memberitahu mahkamah RM50 juta yang dipindahkan ke dalam akaun Najib pada 2014 bukanlah ‘derma atau hadiah’.

Saksi ke-24 pendakwaan itu berkata wang itu diremit oleh dua buah syarikat, iaitu Blackrock Commodities Global Limited dari Singapura dan Vista Equity International Partners dari Seychelles.

Ahli bank itu berkata dua transaksi itu menyenaraikan pemindahan wang ke dalam akaun bekas perdana menteri itu sebagai ‘pinjaman’.

Beliau mengesahkan senarai dana yang dipindahkan ke dalam akaun Ambank Najib adalah daripada Blackrock Commodities Global Ltd £750,000 (RM4,093,500) pada 19 Jun, 2014; daripada Vista Equity International Partners £5,750,000 (RM30,320,250) pada 21 Okt, 2014; daripada Vista Equity International Partners £694,343.62 (RM3,624,273.7) pada 21 Nov, 2014; daripada Vista Equity International Partners £2,216.01 (RM11,567.57) pada 24 Nov, 2014; daripada Vista Equity International Partners £ 995,000 (RM5,360,065) pada 5 Dis, 2014; dan daripada Vista Equity International Partners £ 1,264,462.29 (RM6,809,129.43) pada 18 Dis, 2014.

Seorang peguam kanan, Mohd Shuhaimi Ismail, memberitahu mahkamah SRC International Sdn Bhd perlu membayar RM9.2 bilion kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di bawah kemudahan pembiayaan Bai Al-Inah bagi pinjaman RM4 bilion yang diperolehnya pada 2011 dan 2012.

Mohd Shuhaimi, seorang peguam di Messrs. Hisham, Sobri & Kadi, firma guaman yang terbabit dalam mengendalikan dokumentasi pembiayaan antara KWAP dan SRC, berkata jumlah itu adalah harga jualan yang ditetapkan oleh KWAP ke atas SRC, termasuk faedah 12 peratus, bagi kedua-dua pinjaman itu.

"Harga jualan dalam transaksi itu merujuk kepada jumlah pembiayaan iaitu RM2 bilion, termasuk keuntungan yang dipersetujui pada akhir tempoh 10 tahun berdasarkan kadar yang telah dipersetujui dalam perjanjian jualan, dan kadar faedah adalah 12 peratus.

"Jadi, harga jualan yang dikenakan oleh KWAP ke atas SRC adalah RM4.6 bilion bagi pinjaman pertama dan RM4.6 bilion (lagi) bagi pinjaman kedua,” katanya.

Mohd Shuhaimi, 50, yang juga pengarah Bahagian Undang-undang Bandar Malaysia Sdn Bhd, berkatad SRC dikehendaki membuat pembayaran dalam tempoh 10 tahun sehingga 2021 bagi pinjaman pertama, manakala bagi pinjaman kedua pula, sehingga 2022.

Saksi ke-48 pendakwaan itu juga berkata berdasarkan kontrak jual beli, SRC dikehendaki membuat pembayaran menurut masa dan tarikh yang telah dipersetujui itu.

Hari ke-38 (16 Julai):

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling, memberitahu Mahkamah Tinggi wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam dua akaun milik Najib oleh Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 2014 dan 2015 bukan kepunyaan YR1M.

Ung berkata beliau diberitahu oleh bekas setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias (telah meninggal dunia), supaya mengarahkan bekas CEO IPSB Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman untuk memindahkan wang ke dalam dua akaun di AmIslamic Bank Berhad dan beliau diberitahu wang berkenaan adalah untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Merujuk kepada wang berjumlah RM42 juta, saya mengesahkan wang berkenaan bukan kepunyaan YR1M,” kata saksi ke-49 pendakwaan itu, dan menambah, beliau tidak menerima arahan daripada Jho Low untuk memindahkan wang daripad IPSB ke dalam dua akaun AmBank Najib.

Hari ke-39 (17 Julai):

Bekas pengarah urusan kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang dalam keterangannya berkata beliau bertemu Jho Low di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, di sini, berhubung permintaan bekas perdana menteri itu untuk membuka akaun di Ambank.

Cheah, saksi ke-50 pendakwaan, berkata pada pertengahan Januari 2011, kira-kira 7 malam, beliau dibawa menaiki kereta yang membawanya terus ke kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta untuk membincangkan tentang urusan membuka akaun itu.

“Saya dibekalkan dengan salinan borang untuk membuka akaun bank dan permohonan kad kredit oleh Cik Joanna (Joanna Yu Ging Ping, seorang pengurus perhubungan di AmBank). Seingat saya, kesemua borang itu adalah kosong dan tidak diisi dengan maklumat pelanggan seperti yang dikehendaki oleh bank.

“Sebaik tiba di kediaman Datuk Seri Najib, saya bertemu Encik Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, yang saya pernah jumpa sebelum ini.

“Saya kemudian dibawa masuk ke dalam rumah oleh Jho Low, yang memperkenalkan saya kepada Datuk Seri Najib dan Jho Low turut memberitahu beliau bahawa saya dari AmBank. Datuk Seri Najib dan saya terus beredar ke ruang tamu manakala Jho Low saya lihat menunggu di tempat lain di rumah itu, katanya.

Beliau berkata jenis akaun yang dibuka adalah akaun simpanan asas dengan nombor akaun 211-002-009048-1 dan akaun semasa dengan nombor akaun 211-202-200969-4; serta dua kad kredit yang juga diluluskan atas nama Datuk Seri Mohd Najib, iaitu kad Visa Platinum dan MasterCard Platinum.

“Mengenai kod nama ‘AmPrivate Banking-MR’ yang digunakan bagi akaun semasa yang dinyatakan itu, kod nama ini dikhaskan bagi akaun semasa Datuk Seri Najib.

“Saya diberitahu oleh Cik Joanna bahawa alasan bagi kod nama itu berdasarkan pertanyaan oleh Jho Low yang meminta supaya akaun itu dikendalikan dengan penuh rahsia.

“Saya tidak pasti siapakah yang memutuskan kod nama tepat untuk digunakan bagi akaun ini. Saya hanya tahu terdapat perbincangan untuk menggunakan kod nama bagi perlindungan maklumat dan mengekalkan sensitiviti. Saya seterusnya memaklumkan kepada Gabenor Bank Negara berhubung perkara ini.

Cheah turut memberitahu mahkamah Najib mahu membuka akaun dengan bank itu bagi tujuan untuk menerima derma dari Arab Saudi dan beliau diberitahu sumbangan yang akan diterima itu dalam jutaan dolar Amerika Syarikat.

Hari ke-40 (18 Julai):

Cheah turut menggambarkan Jho Low, sebagai seorang yang tidak pernah menepati masa, seorang penipu dan beliau tidak pernah mempercayai lelaki itu.

“Saya boleh beritahu anda, dia ini orangnya macam mana, (dia) tidak pernah menepati masa. Jika janji temu dibuat pada 1 tengah hari, dia akan datang pada 1.30 tengah hari,” katanya.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan Datuk Fauziah Yaacob dalam keterangannya berkata SRC yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) tidak mempunyai wakil daripada Kementerian Kewangan untuk menyelia perjalanan syarikat itu seperti yang disyaratkan.

Fauziah berkata Kementerian Kewangan menyelia syarikat di bawah MoF Inc dengan melantik seorang wakil sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

“Ini bertujuan agar wakil daripada kementerian dapat memberikan nasihat bersama ahli lain bagi menentukan hala tuju dan masa depan syarikat," katanya.

Beliau menjelaskan tiada wakil daripada kementerian yang menyelia SRC sungguhpun usaha dibuat untuk mendapatkan penyata kewangan syarikat itu, bagaimanapun tiada maklum balas diberi kepada kementerian.

“Kementerian Kewangan kemudian mengemukakan cadangan untuk melantik Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain sebagai ahli lembaga pengarah SRC melalui memo bertarikh 3 Mac 2015,” katanya.

Merujuk kepada memo itu, Fauziah berkata antara tujuan pelantikan Mohmad Isa adalah bagi menentukan hala tuju SRC, di mana kementerian berpendapat bidang perniagaan dan pelaburannya masih tidak jelas.

“SRC juga antara syarikat yang sering lewat menghantar penyata kewangan bagi seliaan Kementerian Kewangan,” kata Fauziah yang bersara pada 29 Julai, 2015. Menurutnya, sehinggalah hari persaraannya, beliau tidak mengetahui sama ada Mohmad Isa dilantik atau tidak.

Semasa disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, saksi itu berkata beliau bersetuju dengan peguam bahawa cadangan pelantikan ini hanya timbul apabila media mula menyiarkan laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain khabar angin di dalam kementerian sendiri.

Turut memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu ialah bekas setiausaha syarikat SRC Chee Suwen dan penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil S. Mageswary, masing-masing selaku saksi pendakwaan ke-51 dan 52.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada Isnin. - Bernama