Kos penghasilan video intim cecah ratusan ribu ringgit: KPN

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador ketika lawatan rasmi ke Maskas Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mendedahkan video intim melibatkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan individu mirip menteri dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.

Abdul Hamid bagaimanapun tidak mendedahkan siapa pihak yang diupah itu.

Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa penyebaran video berkenaan adalah pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik.

“Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik, bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

“Video yang disebarkan dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat tersebut telah dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Haziq yang merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak antara lapan individu yang ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung video terbabit.

Kesemua mereka itu ditahan dalam tangkapan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru bermula Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Polis Negara minta orang ramai fahami proses siasatan video intim


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia