Farhash tidak diberi makan semasa ditahan

Baldip (duduk, tiga dari kanan) bersama pimpinan PKR Perak pada sidang media hari ini.
Baldip (duduk, tiga dari kanan) bersama pimpinan PKR Perak pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang direman bagi membantu siasatan polis berhubung video intim didakwa tidak diberi sebarang makanan hampir 24 jam sebaik ditahan, Selasa lalu.

Perkara itu didedahkan Naib Pengerusi PKR Perak, Baldip Singh yang mengetuai tiga lagi peguam mewakili Farhash Wafa dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Farhash Wafa ketika permohonan reman dibuat ke atas beliau di hadapan majistret, semalam.

"Dalam permohonan reman tersebut yang diwakili beberapa peguam termasuk pegawai penyiasat dan anggota polis Bukit Aman, Farhash memberitahu kepada Majistret bahawa beliau tidak diberi makan sepanjang tempoh mendapatkan reman.

"Majistret sendiri kemudiannya telah mengemukakan kepada pegawai penyiasat agar Farhash bersama seorang lagi rakan yang turut ditahan supaya diberikan sedikit makanan.

"Sekitar jam 1.30 petang, saya dimaklumkan barulah beliau diberikan makanan oleh pihak polis," katanya.

Baldip berkata, kali terakhir Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu makan adalah pada petang Selasa lalu sekitar jam 2.30 petang ketika ditahan di rumah rakannya di Johor.

"Dari 2.30 petang Selasa hinggalah 1.30 petang, untuk tempoh waktu yang kita jangkakan hampir 24 jam ini tanpa dibekalkan sebarang makanan.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini dalam pengetahuan semua pihak yang berada dalam permohonan reman dalam kamar di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Dang Wangi semalam," katanya.

Beliau berkata, adalah tidak wajar jika terdapat elemen-elemen tidak berperikemanusiaan dalam melayani orang-orang yang ditahan terutama dalam pentadbiran Malaysia baharu ini.

"Perkara ini perlu diaudit dan disemak semula oleh pihak berwajib.

"Kesan tidak mengambil sebarang makanan dalam tempoh itu menyebabkan keadaan Farhash dalam pertemuan semalam kelihatan sedikit lesu dan tidak bermaya.

"Bagaimanapun semangatnya masih kuat, di peringkat parti kami tetap memberi sokongan penuh kepada kepimpinan beliau dan yakin penahanannya ini akan berakhir sebaik siasatan selesai," katanya.

Terdahulu, Farhash Wafa bersama seorang lelaki direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan video intim yang dikaitkan dengan seorang Menteri Kabinet.

Perintah reman dibuat bagi siasatan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.