Tunggu kenyataan rasmi Istana Kelantan: MB Kelantan

Ahmad menyampaikan replika bangunan Wahdah Kemasek kepada wakil dana wakaf di Nilam Puri pada Majlis Perasmian Bangunan Wahdah Temasek (Infak Wakaf Umat Islam Singapura di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta semua pihak supaya menunggu kenyataan rasmi daripada pihak Istana Kelantan berhubung isu perkahwinan atau perceraian, Sultan Muhammad V.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, hanya pejabat Istana Kelantan boleh mengeluarkan kenyataan membabitkan urusan Diraja.

Menurutnya, setakat ini beliau tidak mendapat sebarang maklumat kerana perkara demikian biasanya dikeluarkan oleh pejabat Sultan Kelantan.

“Saya senada dengan apa yang disebut timbalan saya (Datuk Mohd Amar Nik Abdullah), kami tidak menerima maklumat rasmi daripada Istana Kelantan berhubung isu tersebut.

“Itu biasanya dikeluarkan melalui pejabat Kelantan dan saya pula di Pejabat Menteri Besar, dengan kata lain, (kami) berbeza,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Bangunan Wahdah Temasek (Infak Wakaf Umat Islam Singapura di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Kias, Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin dan Pengarah Urusan Pusat Kursus Pengajian Al Quran Wal Qiraat ZAG yang juga wakil pewakaf dari Singapura, Zainab Abdul Ghani.

Semalam Sinar Harian melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan negeri tidak menerima maklumat rasmi daripada Istana Kelantan berhubung perceraian, Sultan Muhammad V dengan seorang wanita Rusia dikenali Rihana Oksana Gorbatenko, 27, seperti yang dilaporkan beberapa media semalam.

Ahmad (tiga dari kanan) berbual dengan Zainab dan tetamu yang hadir hari ini.
Ahmad (tiga dari kanan) berbual dengan Zainab dan tetamu yang hadir hari ini.

Malah kata beliau, kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Rihana telah diceraikan talak tiga berdasarkan satu sijil perceraian rasmi yang sudah mendapat kelulusan Mahkamah Syariah Kelantan.

Istana Kelantan turut mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa tiada sesiapa yang boleh digelar sebagai Raja Perempuan Kelantan tanpa pengumuman Istana.

Kenyataan rasmi itu juga memaklumkan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra ialah Tengku Mahkota Kelantan manakala Tengku Anis Tengku Abdul Hamid digelar Raja Perempuan Tengku Anis.

Difahamkan dengan kenyataan rasmi Istana Kelantan itu, ia sekali gus menafikan dakwaan oleh seorang individu menerusi akaun Instagramnya bahawa anaknya merupakan bakal Putera Mahkota Kelantan.

Pihak Istana Kelantan turut mengesa rakyat tidak mudah mempercayai maklumat daripada media sosial dan difahamkan ia merujuk kepada penyebaran pelbagai kisah melibatkan Sultan Muhammad V menerusi Instagram itu sejak kebelakangan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Kelantan tidak terima maklumat perceraian Sultan Muhammad V


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia