Hafizh perlu teruskan kerja keras

Masa hadapan Hafizh menjadi tanda tanya apabila Red Bull KTM Tech 3 mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan Brad Binder.
Masa hadapan Hafizh menjadi tanda tanya apabila Red Bull KTM Tech 3 mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan Brad Binder.
A
A
A

PELUMBA MotoGP pertama Asia Tenggara, Hafizh Syahrin Abdullah dinasihatkan supaya meneruskan kerja kerasnya dan tidak berputus asa, walaupun belum mempunyai pasukan untuk musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pelumba itu harus menunjukkan kepada pasukan-pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, bahawa beliau merupakan seorang pelumba yang berkaliber dan komited.

“Ini adalah masa yang setiap pelumba akan lalui, jadi tak boleh putus asa... Itu adalah nasihat saya kepadanya. Beliau harus menunjukkan potensinya dan terus bekerja keras, tidak boleh kecewa,” katanya kepada pemberita.

Masa hadapan Hafizh menjadi tanda tanya apabila pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan Brad Binder, untuk menggantikan pelumba berusia 25 tahun itu pada musim hadapan.

Mengulas mengenai peluangnya menyertai saingan Moto2 selepas dikatakan menerima beberapa tawaran, Razlan menasihatkan bahawa sekiranya mahu ke saingan Moto2, pilih pasukan yang menggunakan casis Kalex.

“Moto2 agak berbeza dengan MotoGP, bagi saya paling senang ialah masuk dalam pasukan yang menggunakan casis Kalex kerana buat masa ini, ia merupakan casis terbaik. Selain dua tawaran sebelum ini, beliau mendapat satu lagi tawaran baharu, kita akan lihat bagaimana kerana masih ada masa lagi,” katanya.

Sementara itu, Razlan berkata, pasukan Petronas Sprinta Racing mendapat tawaran slot kedua untuk saingan Moto2 musim hadapan, tetapi butirannya hanya diketahui selepas mengadakan perbincangan dengan promoter perlumbaan, Dorna.

“InsyaALLAH, kita dapat slot untuk pelumba kedua untuk musim hadapan, tetapi perlu berbincang dengan pihak Dorna ketika perlumbaan di Litar Brno (Republik Czech pada awal Ogos) untuk mendapatkan 200 peratus pengesahan, sebelum membuat pengumuman mengenai pelumba,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi musim ini, slot tunggal pasukan Moto2 Petronas Sprinta Racing diisi oleh pelumba negara, Khairul Idham Pawi, manakala bagi saingan Moto3, pasukan itu diwakili oleh pelumba Britain, John McPhee dan Ayumu Sasaki dari Jepun.

Bagi saingan Perdana (MotoGP), pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) menggunakan khidmat Franco Morbidell dari Itali dan Fabio Quartararo dari Perancis. - Bernama