Sistem amaran tsunami Indonesia tidak berfungsi sejak 2012

Kesan kemusnahan akibat tsunami di sekitar Selat Sunda
A
A

JAKARTA - INDONESIA . Sistem amaran pelampung tsunami Indonesia tidak berfungsi sejak 2012, dedah seorang pegawai hari ini, dua hari selepas tsunami melanda kawasan-kawasan pantai sekitar Selat Sunda, antara pulau-pulau Sumatera dengan Jawa.

"Perbuatan merosak harta benda awam, kurang dana, masalah teknikal adalah sebab kami tidak mempunyai sistem pelampung amaran tsunami," kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan semasa kejadian malam itu, kata Sutopo.

Beliau menambah, sistem itu perlu dibangunkan semula bagi memastikan Indonesia mempunyai sistem amaran awal tsunami yang dicetuskan oleh gelongsoran tanah di bawah air dan letusan gunung berapi.

"Akibat ketiadaan sistem ini, kami gagal mengesan tsunami di peringkat awal," tambahnya.

Sutopo berkata bahawa Indonesia belum lagi mempunyai sistem amaran awal tsunami yang boleh mengesan gelongsoran tanah dan letusan gunung berapi di bawah air.

"Sebanyak 127 gunung berapi atau 13 peratus jumlah keseluruhan gunung berapi dunia terletak di Indonesia. Sejumlahnya wujud di bawah air dan berupa pulau kecil yang apabila meletus, boleh mengakibatkan tsunami," katanya.

Katanya agi, agensi-agensi kerajaan, serta institut-institut pengajian tinggi berdepan dengan cabaran untuk membangunkan sistem seperti itu.

"Bencana alam lain, termasuk tanah runtuh, letusan gunung berapi, kebakaran hutan, cuaca kering dan puting beliung juga memerlukan sistem amaran awal.

"Ini akan menyampaikan maklumat kepada orang ramai sebelum bencana berlaku," katanya.

Lebih 200 orang terkorban dan beratus-ratus lagi cedera selepas tsunami membadai pulau-pulau Sumatera dan Jawa pada malam Sabtu, menurut pihak berkuasa Indonesia.

Pakar-pakar memberi amaran bahawa satu lagi tsunami mungkin akan melanda Indonesia ketika aktiviti gunung berapi Anak Krakatau berterusan. - CNA